Skip to main content

Hilangnya Sebutir Bintang!


Selepas lebih tiga tahun bertarung dengan kanser payu dara, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Endon Mahmood, meninggal dunia pagi semalam.

Endon, 64, menghembus nafas terakhir di depan keluarga � Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dua anaknya, Kamaluddin dan Nori, menantu Azrene Abdullah dan Khairy Jamaluddin, empat cucunya serta ibu Allahyarham, Datin Mariam Abdullah � pada jam 7.50 pagi.

Berita kematiannya mula diketahui seawal jam 8 pagi apabila disebarkan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) Bernama sebelum ia meluas ke seluruh pelosok negara.

Allahyarham meninggal dunia kira-kira 18 hari selepas pulang daripada menjalani rawatan di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Beliau diletakkan di bawah jagaan rapi di Hospital Putrajaya pada 2 Oktober lalu, sebelum dibenarkan pulang ke Seri Perdana, malam Isnin lalu.

Cuaca di Lembah Klang, termasuk di Putrajaya yang mendung dengan hujan sekali-sekala semalam seolah-olah turut merasai pemergian Allahyarham, tetapi ia tidak menghalang ribuan rakyat mengunjungi Seri Perdana untuk memberi penghormatan terakhir.

Antara yang terawal menziarahi jenazah Allahyarham ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu kira-kira jam 8.30 pagi.

Kamaluddin ketika ditemui berkata, semua ahli keluarga terdekat berada di sisi ibunya ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.

�Kami tanya sama ada beliau mempunyai pesanan terakhir untuk kami semua.... namun beliau ketika itu sudah separuh sedar,� katanya yang sebak menahan air mata.

Khairy pula berkata, ibu mentuanya pergi dengan penuh ketenangan.

Seorang pembantu Perdana Menteri berkata, Abdullah tenang ketika menghadapi saat itu. �Pak Lah kelihatan tenang. Bila saya menangis, beliau pula kata, tak mengapa,� katanya.

Sebelum jenazah dibawa keluar dari Kompleks Seri Perdana, Abdullah, ahli keluarga dan saudara mara terdekat menunaikan solat jenazah yang diketuai bekas Imam Besar Masjid Negara, Wan Halim Wan Harun.

Perdana Menteri dan anak-anaknya kemudian mencium dahi Endon untuk kali terakhir.

Selepas jenazah dibawa keluar dari Dewan Besar dan dihentikan seketika di tangga, Abdullah memberi ucapan ringkas dengan merakamkan terima kasih kepada orang ramai yang menziarahi dan memberi penghormatan terakhir kepada isterinya.

Beliau juga berterima kasih kepada mereka yang mendoakan, membacakan Yassin dan melakukan amalan lain untuk disedekahkan kepada isterinya.

"Mudah-mudahan beliau ditempatkan di kalangan orang yang solehah. Jika ada hutang atau apa-apa barang yang dipinjam isteri saya, hendaklah jumpa saya dan ahli keluarga kami supaya ia dapat diselesaikan," katanya.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Masjid Putra untuk disembahyangkan pada waktu Asar dengan diimamkan Pemangku Imam Besar masjid itu, Abdul Manaf Mat, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Presint 20.

Allahyarham Endon adalah orang kenamaan kedua dikebumikan di tanah perkuburan baru di situ selepas bekas Pengerusi Petronas, Allahyarham Tan Sri Azizan Zainul Abidin.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datuk Seri Rosmah Mansor, mengetuai barisan menteri Kabinet untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Turut berangkat menziarahi jenazah Endon ialah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid pada jam 2.40 petang.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah; Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun dan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah adalah kalangan Raja Melayu yang turut berangkat menziarahi Endon, pada jam 2.15 petang.

Turut menziarah, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Nur Zahirah; Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan isteri serta kerabat diraja Pahang selain Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abas.

Menjelang tengah hari, laluan ke Seri Perdana sesak teruk dengan ribuan orang berpusu-pusu untuk memberi penghormatan terakhir. Mereka termasuk ketua jabatan, tokoh korporat, ahli politik, pemimpin masyarakat dan diplomat asing.

Pemimpin pembangkang seperti Lim Kit Siang dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, juga hadir memberi penghormatan terakhir.

Pemimpin asing juga tidak ketinggalan termasuk Presiden Singapura, SR Nathan; Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong; Menteri Kanan, Goh Chok Tong; Timbalan Perdana Menteri, S Jayakumar dan Menteri Luar, George Yeo.

Wakil Sultan Brunei, Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah dan isteri Dayangku Sarah Pengiran Salleh Ab Rahaman serta Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Endon di tanah perkuburan, petang semalam.

Turut berada di tanah perkuburan ialah wakil kerajaan Indonesia, Alwi Shihab yang juga Menteri Penyelaras Kesejahteraan Rakyat negara itu.

Arroyo kemudian kelihatan berbual dengan Abdullah selama kira-kira 10 minit di bawah khemah khas di situ. Selepas mengiringi Arroyo ke kereta, Abdullah kembali ke khemah dan berbual dengan Timbalan Perdana Menteri Thailand, Dr Surakiart Sathirathai dan Menteri Luarnya, Dr Kantathi Suphamongkhon.

Beberapa acara rasmi dibatalkan termasuk lawatan Abdullah ke Pulau Pinang petang semalam. Pelancaran Jersi Kebangsaan untuk Sukan SEA di Manila pada akhir tahun ini yang sepatutnya dilancarkan oleh Najib di pejabatnya di sini tengah hari semalam, turut dibatalkan.

Sidang Dewan Rakyat semalam turut ditangguh hingga Isnin ini. Stesen radio dan televisyen memberi penghormatan dengan menukar program rutin kepada irama syahdu dan memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
sumber berita : bharian.com.my gambar : bharian , email

Sidang redaksi sangkelu.blogspot.com mengucap takziah kepada Pak lah Sekeluarga di diatas pulangnya Datin Seri Endon Mahmood ke Rahmatullah.. sesungguhnya kami rakyat Malaysia turut berdukacita.. semoga rohnya di tempatkan di kalangan orang yang beriman.

Comments

Popular posts from this blog

Salam Ramadhan

Jom Hiking daa

Cuti...