December 2015

Thursday, December 31, 2015

Buat tatapan semua....



Jaga-jaga Pak Long...sekerap dalam pot, nanti hilang...

Hujan kemarau yang tak menentu di akhir tahun, seperti minggu ini memang mencemaskan orang motong. Dua minggu lagi sekolah akan  dibuka. Baju seluar, kasut stokin, tali pinggang, beg kena beli baru...hari mula buka sekolah nanti, buku tulis kena beli dan yuran PIBG lagi kena bayar.
Anak-anak orang motong mungkin tak bertukar pakaian tahun baru nanti. Bagi anak yang melangkah ke sekolah menengah, mak bapa tiada pilihan selain terpaksa membeli.

Sekerap dalam pot itulah modalnya. Ada yang sudah seminggu di simpan, ada yang kembung ada yang nipis ditimpa hujan bercampur bertindih dalam pot. Sebahagian besar daripada kami di daerah terperosok ini, bau getah sekerap adalah wangi, titisannya adalah penyambung nyawa, ketulan bekunya umpama slip gaji.

Andainya hujan menimpa diwaktu siang, susu meleleh pergi bersama peluh, andai hujan turunnya malam, esok lusa dapur mungkin tidak berasap.
Dua minggu lepas, seorang ustazah bercerita dalam ceramahnya. Sebuah kedai runcit di kampungnya dipecah masuk. Pintu dicungkil, tapi kecurian itu luar biasa. Sasaran biasa pencuri seperti duit dalam laci tak hilang, rokok tembakau dalam almari tak hilang.

Selepas diteliti, yang hilang hanya sekampit beras 5kg, beberapa biji telur dan sedikit ikan masin. Apakah petunjuk daripada kejadian seperti itu? Nak dilapor kepada polis pun tak sampai hati. Anak-anak siapakah yang sedang kelaparan di kampung itu? Mungkin ramai lagi di tempat lain.
Di sebuah kampung lain seorang pekedai bercerita sebulan lalu. Ada pelanggan tetapnya kerja motong pawah. Satu hari dia bawa dua biji kelapa untuk ditukar dengan sekilo beras. Walaupun santan dan kelapa bukan jualannya, dia ambil juga sebagai tukaran.

Kerana beras semuanya siap dalam kampit, di buka kampit beras 5 kg untuk ditimbang. Tak sampai hati memberi sekilo, dia beri dua kilo.  Kali pertama tangannya menggeletar menimbang beras. Wajah orang didepannya menunduk, risau ada pelanggan lain masuk. Dia masukkan juga 5 biji telur ayam sebagai sedekah. Baiknya hati orang kampung berkongsi kesempitan.

Lewat tahun 70-an hingga 90-an, keluarga besar kami telah melaluinya, melepasi himpitan hidup dengan sejuta kisah, bersama keluarga orang lain yang sentiasa di kenang. Sekolah dan ilmu pendidikanlah yang menyentak kami keluar dari putaran yang melemaskan itu.

Selepas 30 tahun, menjelang tahun 2016, putaran yang menghimpit kehidupan itu melanda lagi, melemaskan rakan taulan, saudara mara dan jiran tetangga sebaya yang sudah punya keluarga sendiri. Ganasnya putaran ini membadai bila harga barangan keperluan melambung tinggi, harga getah tidak berubah.

Negara ini sudah jauh berubah fizikalnya. Bahasa dan gaya hidup pemimpin kerajaan pun makin sukar difahami, malah gaya pembaca berita pun seperti sorak sorai sukaria dalam istana.
Jumlah duit yang dihambur keluar dari mulut pemimpin sekarang tidak lagi ribu-ribu atau juta-juta ketika berkisah tentang rancangan untuk kemajuan negara. Duit derma pun sudah mencecah bilion-bilion. Yang tiris dan bocor pun bilion-bilion jumlahnya.

Laporan pencapaian agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat gergasi juga berbintang-bintang, untung berganda-ganda, bagai tiada lagi duka, tiada derita, tiada lagi nestapa gara-gara miskin.
Annual dinner agensi, jabatan dan syarikat gergasi dirayakan di hotel-hotel lima bintang. Anugerah itu dan ini menggunakan bajet yang diumumkan untuk orang ramai. Bahasa pegawai pun bercampur-baur. Mesyuarat saja di awan biru. Bonus GLC hujung tahun berlipat-lipat. Orang motong- nak cuba bayangkan saja sudah tak termampu. KPI jabatan kerajaan sekarang ialah berapa bintang berjaya diraih atau menteri mana yang dapat hadir ke majlis mereka, bukan lagi manfaat apa yang sampai kepada rakyat.

Di bawah helaian kertas laporan mereka itu, kehidupan rakyat desa tidak jauh berubah. RM2.00 -RM2.20 sekilo sekerap tidak berupaya membawa nafas lega kepada orang motong. Setiap kali sekerap dijual, tidak pernah sekalipun cukup untuk memenuhi keperluan, tidak sedikitpun berbaki untuk simpanan, jauh sekali kesenangan apa lagi kekayaan.

Bukanlah barang mustahil, menjelang tahun baru nanti, ada anak-anak kita 13-16 tahun umurnya, tidak lagi menjadi budak sekolah. Pakaian tak mampu dibeli, buku dan yuran lagi. Cukuplah setakat darjah enam dan tingkatan 3.

Bagi adik-adik sajalah pergi sekolah membaca dan mengira. Abang dan kakak yang sudah keras ototnya, jom ke kebun atau mengasuhlah adik di rumah. Kedai makan, tempat cuci kereta, tapak pembinaan, reban ayam, kedai pomen motor adalah sekolah baru mereka, mencari rezeki menyara keluarga, mak bapa berdua sudah tidak menang melawan desakan keperluan untuk hidup.
20 tahun daripada sekarang, yang tidak mampu ke sekolah, akan menghadapi kesempitan seperti hari ini, terperosok  ke dalam  putaran ganas kemiskinan itu.

Sebelum terlambat, berbuatlah sesuatu untuk membantu orang motong. Harga lantai sekerap pada RM4 sekilo hanya perlukan tambahan  RM1.6 bilion bajet kerajaan setahun, berbanding bilion-bilion yang tersasar entah ke mana. Bernafaslah 570,000 keluarga orang motong, bersekolahlah anak-anak mereka... putaran kesempitan ini bisa berhenti.


Pak Long...jaga-jaga! Sekerap dalam pot, nanti hilang. Kerajaan kita tak pernah faham apa itu sekerap hilang!

Sumber : Whatapps group

RIWAYAT SEJARAH SAHABAT : ANTARA FAKTA DAN KEKELIRUAN (siri ke-2)


...sambungan semalam
RIWAYAT SEJARAH SAHABAT : ANTARA FAKTA DAN KEKELIRUAN (siri ke-2)
Apa yang berlaku pada zaman sahabat, tidak disaksikan sendiri para pembaca sejarah. Mereka menaqalkannya daripada para mu’arrikhun atau ahli sejarah, seperti al-Tabari. Al-Tabari juga tidak hidup pada zaman berlakunya peristiwa yang diriwayatkannya tetapi beliau meriwayatkan peristiwa tersebut hanya berdasarkan kepada maklumat yang diberi oleh orang lain kepadanya. Oleh itu, dengan cara yang demikianlah maklumat atau riwayat tersebut sampai kepada pengetahuan seseorang. Pendirian al-Quran dalam hal ini sangat jelas seperti yang difahami daripada ayat di bawah:
يَا أَيَّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَاءٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيُبواْ قَوْمًا بِجَهِلِيَّةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَدِمِينَ
(maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya datang kepada kamu orang yang fasik membawa sesuatu berita maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu”. (Surah al-Hujarat: 6)

Ayat di atas menjadi dalil tentang kewajipan dalam memastikan setiap berita yang dibawa atau riwayat yang diriwayatkan. Ini sebagai langkah berhati-hati dan menghalang daripada menganiaya orang lain dengan tuduhan yang salah yang akan menyebabkan orang yang tergesa-gesa menghukum dan mempercayai itu menyesal di atas sikap tergopoh-gapah, tidak teliti dan berhati-hati“ (Wahbah al-Zuhayli, Al-Tafsir al-Munir, jil. 26, hlm. 229).
Al-Imam al-Tabari (w, 310) sendiri dalam tafsirnya mengatakan ketika mentafsirkan ayat ini: “Apabila datang kepada kamu orang fasik yang membawa sesuatu berita, (maka) carilah bukti kesahihannya serta pastikan (pastikan kebenarannya). Janganlah kamu tergesa-gesa menerimanya. Ini kerana berita tersebut boleh menyebabkan kamu menuduh kaum yang tidak bersalah dengan tuduhan jenayah disebabkan kejahilan kamu. Maka nanti kamu akan menyesal di atas tuduhan kamu kepada mereka”. (Tafsir al-Tabari, tahzib: Dr. Salah ’Abd Fattah al-Khalidi, jil. 7, hlm. 33)
Berdasarkan tuntutan ayat di atas, adalah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk memeriksa dan meneliti setiap berita yang memburukkan para sahabat Nabi s.a.w, iaitu dengan menyemak latar belakang pembawa beritanya dengan menanyakan soalan seperti: siapakah mereka, apakah mereka tergolong dikalangan orang fasik atau tidak. Sekiranya pembawa berita tersebut adalah orang yang fasik, maka berdasarkan ayat ini “sesiapa yang pasti kefasikannya maka batallah perkataannya (hilang kredibiliti) di dalam menyampaikan berita“ . Hukuman ini adalah ijma’. Ini kerana berita yang dibawa itu adalah suatu amanah dan kefasikan pula adalah sebab yang membatalkannya (Ibn al-’Arabi, Ahkam al-Quran, jil. 4, hlm. 147).
Ini adalah disiplin pengambilan berita yang telah digariskan oleh al-Quran. Setiap pengkaji berita mesti melalui kaedah ini. Sekiranya tidak melalui kaedah ini, maka kajiannya adalah tertolak.
Menyemak Sanad
Justeru, mengenali sanad adalah antara kaedah yang telah digunakan oleh para ulama hadis sebagai langkah untuk menghadapi gerakan pemalsuan terhadap hadis (Mustafa al-Siba’i, Al-Sunnah wa Makanatuha fi al-Tasyri’ al-Islami, hlm. 90).
Sanad ialah rangkaian pembawa riwayat (para perawi) yang menyampaikan kepada sesuatu ungkapan, sama ada ungkapan tersebut daripada Nabi s.a.w atau selain baginda (Hammam Sa’id, Al-Tahmid fi ’Ulum al-Hadith, hlm. 14).
Bagi mereka yang kurang memahami bidang ini, suka saya jelaskan bahawa dalam setiap riwayat mempunyai dua bahagian. Bahagian pertama dinamakan dengan sanad iaitu rangkaian perawi. Sementara bahagian kedua ialah matan iaitu teks yang diriwayatkan oleh para perawi tersebut. Bagi memudahkan, dikemukakan di sini satu contoh ringkas dalam memahami hal ini:
Hadis Nabi s.a.w:
: "لا تسبوا أصحابي فلو أن أحدكم أنفق مثل أحد ذهبا ما بلغ أحدهم ولانصيفه“
“Jangan kamu mencerca para sahabatku. Seandai seseorang kamu membelanjakan emas sebanyak bukit Uhud, tidak akan mencapai secupak atau setengahnya yang mereka belanjakan”.

Bahagian ini dinamakan matan atau teks. Teks sampai kepada kita melalui para periwayat atau rawi. Rawi yang mengumpulkan hadis ini ialah al-Imam al-Bukhari. Beliau sendiri tidak mendengar daripada Rasulullah s.a.w secara langsung, sebaliknya meriwayatkan hadis ini melalui rangkaian para perawi yang dinamakan sanad. Maka sanad hadis ini telah nyatakan oleh al-Imam al-Bukhari seperti berikut:
حدثنا آدم بن أبي إياس حدثنا شعبة عن الأعمش قال سمعت ذكوان يحدث عن أبي سعيد الخدري رضى الله عنه.
Adam ibn Abi Iyas telah meriwayatkan hadis kepada kami (al-Bukhari). Katanya (Adam): “Syu’bah telah meriwayatkan hadis kepada kami.” Katanya (Syu’bah): “Daripada al-‘Amash. Katanya (Al-‘Amash): ‘Aku mendengar daripada Zakwan, dia meriwayatkan hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri yang mengatakan: Sabda Rasulullah s.a.w (lalu disebut hadis atau matan di atas)’.”

Menerusi rangkaian sanad ini, kedudukan para perawi dan cara sesuatu teks itu diriwayatkan akan dikaji dan dinilai. Sejauh manakah keteguhan periwayatan mereka? Setelah selesai kajian sanad, akan dikaji pula keserasian teks atau matan tersebut dengan al-Quran dan riwayat-riwayat lain yang lebih kukuh atau dipercayai.
Antara perkara yang perlu ditekankan dalam kajian kedudukan sanad ialah persoalan mengenali latar belakang setiap individu yang terlibat dalam setiap riwayat. Mahmud al-Tahhan menegaskan: “Dalam kajian sanad, pada asas ia berpegang kepada ilmu Al-jarh wa al-Ta’dil dan sejarah para perawi” (Mahmud al-Tahhan, Ushul al-Takhrij wa Dirasah al-Asanid, hlm. 140).
Al-Jarh wa al-Ta’dil ialah dua perkataan: al-Jarh dan al-Ta’dil. Al-Jarh ialah sifat perawi yang menyebabkan ditolah hadisnya dan riwayatnya tidak diterima. Sementara al-Ta’dil pula ialah sifat perawi yang menyebabkan riwayatnya diterima dan hadisnya dijadikan hujjah. Ini semua berdasarkan ciri-ciri yang mesti dipenuhi untuk dia diterima atau ditolak (Muhammad Adib Salih, Lamahat fi Usul al-Hadith, hlm. 326).
Latar Rawi
Sementara sejarah perawi pula untuk mengkaji sejauh manakah kesinambungan dan keteguhan periwayatan tersebut. Ertinya dua aspek berikut dikaji;
Satu: Al-Jarh wa al-Ta’dil terdiri daripada dua perkataan Al-Jarh dan al-Ta’dil. Al-Jarh ialah sifat-sifat rawi yang menyebabkan ditolak hadisnya dan tidak diterima riwayatnya. Sementara al-Ta’dil bermaksud, sifat-sifat rawi yang menyebabkan diterima riwayatnya dan dijadikan hujah hadisnya. Ini semua berdasarkan ciri-ciri yang mesti dipenuhi untuk seseorang rawi itu diterima atau ditolak.
Dalam ilmu hadis, ada kitab-kitab khas mengenai latar belakang para perawi atau dikenali dengan Kutub al-Rijal كتب الرجال. Termuat dalam kitab-kitab tersebut latar sejarah perawi dan juga komentar para penganalisa hadis mengenai diri mereka. Di mana, para penganalisa mengkaji kedudukan atau kekuatan setiap perawi dalam periwayatan mereka. Setiap mereka akan dinilai apakah dia kuat atau lemah dalam riwayat, atau mungkin juga seorang pendusta. Di dalam kitab-kitab ini juga akan dibongkar kejahatan para pendusta yang memasuk dan mencipta hadis-hadis palsu. Para ulama hadis telah mengembelingkan usaha yang begitu hebat dalam meneliti dan menilai peribadi-peribadi para periwayat. Sanad adalah pengesan utama dalam mengenali hadis-hadis yang datang daripada para pendusta.
Kedua: Ilmu mengenai sejarah para periwayat atau rawi ini dikenali dengan ‘ilm Tarikh al-Ruwah iaitu Ilmu Sejarah Para Periwayat. Dalam ilmu ini akan dibahaskan mengenai latarbelakang setiap perawi; tarikh lahir, tarikh kematiannya, guru-guru yang dia ambil hadis mereka , tarikh pengambilan hadis daripada guru-guru berkenaan, pelajar yang mengambil hadis daripadanya, negeri dia tinggal, pengembaraannya dalam mengambil hadis, tarikh dia sampai ke negeri-negeri yang diambil hadis daripada tokoh-tokohnya, tarikh pengambilan hadis daripada sesetengah tokoh sebelum tokoh-tokoh tersebut keliru dalam periwayatan dan berbagai lagi.
Ilmu ini sangat penting untuk mengetahui sejauh manakah benarnya dakwaan seseorang rawi bahawa dia benar-benar mengambil hadis daripada rawi sebelumnya. Dengan ilmu ini dapat dilihat sejauh manakah berlakunya kesinambungan sanad, atau ittisal al-Sanad اتصال السند. Jika sanad tidak bersambung, di mana fakta sejarah rawi menunjukkan dia tidak bertemu dengan perawi yang diambil hadis daripadanya, maka sanad dianggap tidak bersambung atau terputus. Sanad yang tidak bersambung menafikan kesabitan sesebuah hadis, maka hadis dianggap tidak sabit untuk disandarkan kepada Nabi s.a.w. Ini kerana syarat bagi hadis yang thabit ialah bersambung sanad.
Pengkajian sanad dapat menjadi penapis bagi membezakan antara riwayat yang boleh dipercayai dan yang tidak boleh dipercayai. Selepas sanad sesebuah riwayat itu diterima, barulah dapat diikuti dengan kajian terhadap teks atau matan yang diriwayatkan.

dipetik dari DrMaza.Com
bersambung...

Wednesday, December 30, 2015

RIWAYAT SEJARAH SAHABAT : ANTARA FAKTA DAN KEKELIRUAN (siri 1)


Disebabkan ramai yang keliru tentang sejarah sahabat nabi s.a.w terutama yang membabitkan pertelingkahan zaman Saidina Uthman bin 'Affan dan selepasnya, maka di sini saya nukil siri-siri penjelasan tentang hal-hal tersebut;
RIWAYAT SEJARAH SAHABAT : ANTARA FAKTA DAN KEKELIRUAN (siri 1)
Walaupun kedudukan para sahabat begitu tinggi di sisi kaca mata al-Quran dan al-Sunnah, namun kekeliruan akan timbul apabila membaca riwayat yang mengisahkan perihal para sahabat yang dicatatkan dalam penulisan sejarah. Para sahabat kadangkala digambarkan hanya menghayati al-Quran dan al-Sunnah semasa hayat Rasulullah s.a.w sahaja. Adapun selepas kewafatan baginda, maka mulalah timbul beberapa isu besar yang seakan cuba menggambarkan sikap rakus dan tamakkan kuasa sehingga sanggup bertumpah darah semata-mata kerana kepentingan dunia.
Watak yang amat bertentangan antara kesitimewaan mereka yang yang nyatakan oleh al-Quran dan al-Sunnah, dengan riwayat yang termuat dalam buku-buku sejarah. Kebanyakan kitab ini bersumberkan kitab Tarikh al-Umam wa al-Muluk (تاريخ ألأمم والملك) atau dikenali dengan Tarikh al-Tabari. Membaca kitab ini dan sejarah yang lain tanpa panduan boleh menyebabkan timbulnya keingkaran perasaan terhadap pernyataan al-Quran dan al-Sunnah.
Mengapakah pertembungan yang sebegini boleh timbul? Mana satukah sumber yang telah membohongi kita? Dari sudut akidah Islam, kita wajib beriman al-Quran dan al-Sunnah itu maha benar. Apakah boleh diterima akal untuk menyatakan bahawa Allah S.W.T. dan Rasul-Nya telah menjamin para sahabat, namun jaminan itu tidak terbukti di alam kenyataan. Dengan ini sekali gus menafikan ilmu Allah yang Maha Mengetahui. Namun permasalahannya, riwayat sejarah yang dibaca secara terang dan jelas menceritakan kisah-kisah buruk para sahabat seperti kelemahan pemerintahan ‘Uthman, peristiwa ‘Uthman dibunuh, Perang Jamal, Perang Siffin, peristiwa Tahkim dan berbagai-bagai lagi.
Bagaimanakah kekeliruan ini dilangsaikan?
Sebenarnya, kesemua kekeliruan ini secara umum akan boleh dirungkaikan sekiranya dilakukan melalui dua kaedah utama.
Pertama: Meletakkan al-Quran dan hadis yang thabit sebagai sumber tertinggi seperti yang dilakukan oleh para muhaddithin dalam mengkritik matan hadis. Mereka tidak menerima mana-mana riwayat yang bertentangan secara jelas dengan al-Quran serta tidak dapat ditakwil lagi untuk merongkaikan pertentangan tersebut (Mustaga al-Siba’i, Al- Sunnah wa Maknatuha fi al-Islam, hlm. 99). 
Ertinya paksi dalam menentukan atau mengukur dan mempercayai sesuatu maklumat mengenai sahabat Nabi s.a.w adalah al-Quran dan al-Sunnah, jika seiras dengan kedua sumber itu maka diterima, jika tidak maka ditolak. Secara perlaksanaannya, jika terdapat kisah atau riwayat yang menggambar keburukan sikap para sahabat Nabi s.a.w yang jelas bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah dengan tidak boleh ditakwil atau dijustifikasikan lagi, ia dianggap tidak benar atau riwayat yang tidak sahih.

Kedua: Menyemak kedudukan para perawi yang membawa riwayat tersebut. Siapakah mereka? Bagaimanakah kedudukan mereka di sisi ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil? Ini adalah kaedah yang dituntut oleh al-Quran itu menyemak latar belakang pembawa berita keburukan orang lain atau dengan kata lain mengkaji sanad. Firman Allah S.W.T:
يَا أَيَّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَاءٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيُبواْ قَوْمًا بِجَهِلِيَّةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَدِمِينَ
(maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya datang kepada kamu orang yang fasik membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu. (Surah al-Hujarat: 6).

Inilah adalah teras utama dalam periwayatan hadis. Menyemak sanad yang membabitkan mengkaji latar belakang perawi dan kesinambungan rangkaian periwayatan atau disebut Ittisal al-Sanad (اتصال السند).
Ini keistimewaan periwayatan dalam ajaran Islam ini.
Terpeliharanya fakta dan kemampuan untuk membezakan antara yang sabit (authentic) dan yang tidak adalah melalui pengkajian sanad sesuatu riwayat. Kata Mahmud al-Tahhan: “Sanad adalah keistimewaan umat Islam yang tidak ada pada umat-umat sebelum ini. Disebabkan tidak adanya disiplin dalam mengkaji sanad, maka kitab-kitab serta kisah para anbiya’ diubah oleh para pendusta dan dajjal”. (Mahmud al-Tahhan, Usul al-Takhrij wa Dirasah al-Asanid, hlm. 139). Ertinya tanpa sanad, semua pihak boleh mendakwa apa yang dia mahu, namun sanad yang akan menentukan sejauh manakah dakwaan itu boleh diterima pakai di sudut keutuhan para perawi dan cara mereka menerima riwayat tersebut. Itulah sanad dan kepentingannya.
Malangnya, bagi sesetengah buku manhaj atau metodologi berkenaan perkara ini jarang dipakai atau diteliti oleh para penulis termasuk yang berkaitan para sahabat. Ini kerana kebanyakan mereka terpengaruh dengan gaya penulisan golongan orientalis yang hanya mencedok apa sahaja yang sampai kepada mereka tanpa melalui suatu disiplin penapisan. Natijahnya, tersebarlah dalam buku sejarah kisah yang tidak dipastikan secara ilmiah tentang kelemahan pemerintahan ‘Uthman, keburukan ‘Aisyah, Talhah, Al-Zubayr, ‘Amr ibn al-‘As, Mu’awiyah dan lain-lain yang terlibat dalam pertelingkahan sesama sendiri. Darjat atau nilai sahabat menjadi begitu rendah. Sekali gus ini memberi ruang kepada golongan Syi’ah untuk menyerang Ahlus Sunnah wal Jama'ah mengenai isu para sahabat disebabkan pengetahuan dan kajian kita tentang hakikat yang sebenar tentang mereka tidak menerusi disiplin yang betul.
Tarikh al-Umam wa al-Muluk atau yang dikenali dengan nama Tarikh al-Tabari dianggap sebagai sumber rujukan sejarah Islam yang paling awal dan terdahulu (Muhammad Fathi ’Uthman, Al-Madkhal ila al-Tarikh al-Islami, hlm. 162) bahkan yang paling penting dan terkenal.
Tarikh al-Tabari adalah himpunan riwayat sejarah yang dikumpulkan oleh seorang tokoh ulama Islam al-Imam Abu Ja’far Muhammad ibn Jarir al-Tabari (أبو جعفر محمد بن جرير الطبارى) (w. 310). Al-hafiz al-Zahabi (meninggal 728H) menyifatkan beliau sebagai: “Seorang yang thiqah (dipercayai) lagi benar, seorang hafiz (pakar hadis), tokoh utama dalam tafsir, imam dalam bidang fiqh, masalah ijma’ dan khilaf. Seorang allamah (ilmuwan besar) dalam sejarah dan peristiwa manusia, amat arif dalam ilmu qira’at dan juga bahasa Arab dan pelbagai lagi”. (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala’, jil. 14, hlm. 271).
Kebanyakan bahan-bahan sejarah yang ditulis selepas al-Tabari akan menyandarkan kenyataan mereka kapada tulisan beliau sebagai sumber. Dengan lain perkataan, para penulis sejarah yang datang selepasnya menjadikan beliau sebagai rujukan dalam penulisan mereka.
Memandangkan kedudukan Tarikh al-Tabari yang begitu penting, kebanyakan perbincangan ini akan tertumpu kepadanya. Ini bukanlah bererti buku sejarah yang lain tidak perlu diberi perhatian tetapi dengan mengemukakan cara analisis terhadap riwayat al-Tabari, maka ia boleh menjadi garis panduan dalam menganalisis bahan-bahan sejarah yang lain. Manakala bahan yang ditulis oleh penulis-penulis Syi’ah umpamanya yang paling terkemuka ialah Ya’qubi dan al-Mas’udi dan yang seumpamanya, sudah diketahui sikap permusuhan terhadap para sahabat yang sedia tertanam dalam jiwa dan pemikiran mereka. Maka, mengambil khabar seseorang dari musuh ketatnya adalah amat tidak wajar dan terdedah kepada pemalsuan.

dipeti dari Dr.Maza.com
Bersambung

Sunday, December 27, 2015

Saturday, December 26, 2015

Friday, December 25, 2015

Wednesday, December 23, 2015

Tuesday, December 22, 2015

Thursday, December 17, 2015

Wednesday, December 9, 2015

Friday, December 4, 2015

Belasungkawa .. Yusry Edoo



Ya Allah, Ampunilah arwah, kasihanilah dia, sejahterakanlah dia, ampunilah dosanya, muliakanlah kedudukannya, lapangkanlah kuburnya, bersihkanlah dia dari semua kesalahan sebagaimana kain putih dibersihkan dari kekotoran dan masukkanlahnya ke dalam syurga serta lindungilahnya daripada azab kubur, fitnahnya dan daripada seksa api neraka. Aamin Aamin Aamin Ya Robbal Alamin.

Search This Blog

My Book Rack

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...