Friday, October 18, 2013

Falsafah Jahiliyah Kini..

Falsafah Jahiliyah disebalik al-Baqarah, Surah ke2 selepas Fatihah

Hari ini kami nak bawa pembaca sekalian untuk memikirkan zaman kita ini dengan zaman Jahilliyah semasa zaman sebelum kenabian Muhammad SAW di Kota Mekah. Kami nak kongsikan pengalaman kami, apa yang kami rasai sebaik sahaja selesai meneliti rahsia disebalik turutan Nuzul Quran dan turutan penyusunan surah surah dalam Musyhaf Quran. Ada masa nanti kami kongsikan sedikit demi sedikit.
Hari ini kami nak kongsikan mengapa Surah al-Fatihah, surah ke5 dalam turutan turunnya alQuran itu diletakkan dalam surah pertama dalam susunan Musyhaf. Mengapa pula selepas Fatihah terus kita dikocak dengan al-Baqarah, Surah Lembu, Sapi betina. Sila baca siri Sains Fatihah 1-7 untuk memahami artikel ini dengan lebih jelas.
Ya, itulah dia. Selepas kami selesai meneliti segala rahsia di sebalik Fatihah, kami sedar kami telah tidak memahami dan melaksanakan setiap perintah Allah dalam kesemua 7 ayat Fatihah yang kita ulang 17x sehari itu dengan sempurna. Kerana itulah kami sedar dan redha mengapa keluarga jadi haru biru. Ternyata kami rasa kami tidak layak dipanggil manusia, samada selaku ketua keluarga atau ahlinya. Kami tidak layak mengaku hamba kerana kami tidak meletakkan Allah sebagai Raja seraja rajanya dalam urusan kehidupan. Kami tidak layak mengaku saudara seIslam kerana tidak berkongsi apa apa, jauh sekali untuk berkasih sayang dengan sempurna.
Itulah dia hakikat sapi betina yang memukul fikiran kami sebaik sahaja memahami sedalam dalamnya surah al-Fatihah. Sedarlah kami bahawa kami telah terlalu jauh jahiliahnya. Kami bandingkan kondisi keluarga lembu (al-Baqarah) yang wajib dibetulkan menjadi keluarga Imran (Ali-Imran), melalui fungsi rijal dan nisa’ (an-Nisa’) buat menghidangkan (al-Ma’idah) anak anak yang bersih suci. Begitulah seterusnya.
Dahulu kami hidup dan berumahtangga hanya untuk membela anak untuk kepentingan sendiri, bukan untuk mendidik dan berbakti. Yang penting mereka semua ada makan pakai dan tempat tinggal. Dahulu Isteri dan anak jadi sembahan dan keutamaan. Kadangkala perintah dan larangan Allah kami langgar kerana keutamaan anak dan isteri. Kami tidak ubah seperti LEMBU jantan PENYEMBAH sapi betina dan anak sapi betina.
Itulah hakikat peranan sapi betina (al-Baqoroh) yang menyerahkan diri hanya untuk ditiduri sang jantan. Yang hanya hidup untuk cari rumput, garam jilat dan beranak pinak. Akhirnya susu dan anak sendiri pun dikebas orang. Bahkan diri sendiripun akhirnya disembelih. Sijantan relaks saja, masih boleh teruskan meragut rumput melihat rakan lain, atau anak sendiri bahkan pasangan betinanya disembelih. Yang penting mesti ada cukup kuota 20 betina untuk memuaskan nafsu. Padahal cukup masa dia sendiri juga disembelih orang.
Dahulu kami sering mengharapkan Allah selesaikan semua masalah kami. Kami hanya berdoa dan berdoa atas sejadah tanpa berusaha gigih mengatasi segala masalah dan kekusutan. Setiap kali ada masalah kami anggap itu kerja Allah, itu sudah nasib. Bahkan dalam banyak musibah kami rasa itu bukan sebab kami, itu ketetapan Allah, lalu kami ulangi langkah yang sama dan terkena lagi musibah yang sama. Begitu bodohnya kami dahulu. Lebih teruk dari LEMBU.
Dahulu kami ke masjid, berpersatuan, berpolitik, berniaga dan bermacam macam lagi tanpa sedar akan tanggungjawab sebenar sebagai insan dan hamba yang Esa. Kami hanya memburu harta, tahta dan wanita. Kami tidak ubah seperti Jahiliah sebelum didatangkan rasul yang mulia.
Sekarang ingin kami kongsikan ciri ciri jahiliah yang telah kami sedari untuk sama sama kita kaji dan teliti. Berikut adalah ciri-ciri, kondisi atau fenomena Jahiliah yang telah berlaku di Tanah Arab khususnya Mekah,
  • Membunuh anak perempuan
  • Menyembah idola-idola (berhala / goddess) – manusia lebih mengagungkan berhala berbanding Allah
  • Aman tetapi sekitarnya berlaku rampok-merampok
Mari kita sorot kesemua fenomena di atas yang terjadi semasa zaman jahilliyah, adakah ia sedang berlaku ataupun tidak dalam komuniti masyarakat kita sekarang ini? izinkan kami huraikannya satu persatu mengikut hasil penelitian kami.
MEMBUNUH ANAK-ANAK PEREMPUAN
Jahiliah Firaun dahulu bunuh anak laki-laki, jahiliyahnya Abu Jahal bunuh anak perempuan. Ya itu dahulu… Hari ini, kita telah bunuh kesemua anak lelaki mahupun anak perempuan. Maknanya, jahiliyahnya kita lebih teruk dari mereka. Mereka dahulu membunuh secara muhkamat dan bersebab, kita bunuh secara muhkamat dan mutasyabihat, termasuk yang suka suka bunuh tanpa sebab atau kerana adat.
Secara mustasyabihat, anak perempuan merupakan satu analogi ketaatan dan kepatuhan kepada pengaturnya. Hari ini, kita lihat orang-orang lurus, patuh dan taat ini kita bunuh mereka. Contohnya ada Pegawai Kastam, pegawai Polis, Pengarah itu dan ini yang amanah, patuh dan taat kepada negara dibunuh karier mereka. Mereka difitnah, ini lebih teruk dari membunuh, agar tidak menjadi batu penghalang sebahagian manusia mencapai cita-cita peribadinya dengan jalan kotor. Ini berlaku meluas dalam politik, jabatan, syarikat, NGO dan sebagainya. Bahkan ada yang dibunuh jasadnya kerana tamakkan pangkat dan harta di kalangan mereka sendiri. Ada juga yang dibunuh kerana menyukarkan kerja-kerja jenayah orang lain.
BUNUH ANAK LAKI-LAKI
Anak-anak lelaki juga kita bunuh. Mereka yang lantang bersuara dalam menyatakan kebenaran kita bunuh semangat mereka. Ulamak yang tegas mengkritik ditenggelamkan. Guru guru yang tegas dipindahkan. Politikus yang lantang dipenjarakan. Begitulah seterusnya dalam keluarga dan masyarakat umumnya.
Di arena global pula kita lihat bagaimana Negara yang tidak setuju dengan USA ditindas satu persatu dan dikucar kacirkan. Pemimpin seperti Muammar Ghadaffi, Saddam Hussein (contohnya) yang lantang menyuarakan tentang polisi kuasa vito yang sering disalahgunakan oleh penyandangnya dibukakan pekung dan perkara buruk tentangnya. Betul atau tidak itu hanya Allah dan USA sahaja yang tahu. Dengan pendedahan yang boleh jadi hanya sekadar fitnah itu membuatkan kebangkitan rakyat sendiri yang membunuh pemimpin ini. Lalu digantikan pemimpin BERJIWA LELAKI itu dengan pemimpin berjiwa WANITA (yang menurut kata sahaja).
Itu tak masuk lagi, kes buang bayi lelaki atau perempuan yang boleh dikatakan sangat kritikal sekarang. Sudah sukar nak dikira pula dah statistiknya.
MENGUTAMAKAN BERHALA (IDOLS), LEBIH DARI ALLAH.
Hari ini, ceramah agama yang sangat akademik tidak laku di pasaran. Jika adapun, khalayak yang hadir biasanya terperangkap antara solat Maghrib dan Isya’ dan bukan sengaja datang untuk mendengar. Idola besarnya ialah Penceramah yang mampu menjawap dengan selingan lawak jenaka, bahkan kadangkala dengan caci maki politik, carutan yang pada mereka kononnya itu “cool”. Isi dan fakta yang bidaah pun akan ditelan bulat bulat asalkan ia disebut oleh seorang pendakwah bergelar dan famous.
Siapa yang kita sembah? Allahnya atau penceramahnya? Jika sembah Allah, mengapa kita ada favoritism siapa yang kita nak dengar BUKAN APA yang kita nak dengar. Perkara ini juga dalam kajian dan pemerhatian kami. Apapun kita pandang positif saja. Anggaplah itu sebagai kepelbagaian cara penyampaian dakwah. Itulah fatonah, itulah bil-Hikmah bagi kita.
Antara konsert Metalicca dan simposium agama, orang lebih sanggup bayar RM350 untuk konsert dan menonton dari kejauhan 200 meter, untuk menonton bagaimana “Kirk Hammet” menggoreng gitarnya. Untuk simposium Agama pula siap dapat elaun RM350 pun tak mahu hadir juga. Maka terpaksalah mewajibkan budak-budak sekolah, mahasiswa universiti, anak anak yatim dan pegawai-pegawai kerajaan untuk memenuhkan ruang secara PAKSA.
Kepimpinan politik juga berdasarkan individu yang di-IDOLAkan dan disembah bukannya pada matlamat perjuangan yang holistik. Pemimpin yang berbuat salah tetap disokong, bermati matian dipertahankan kesalahannya oleh penyokong tegar. Pemimpin yang berbuat baik tetap dikutuk oleh penyokong lawan. Siapa yang kita sembah? Manusianya atau aturan Allah?
Antara program TV kuliah Agama yang bertembung dengan Drama Bersiri dalam slot Zehra bertajuk “Sebening Air Perigi” (atau apa-apa sahaja) yang mana satu pilihan hati? Nak solat pun tunggu selingan iklan dulu padahal waktu dah nak habis. Cari sahaja rating dari AC Neilson, berapakah rating Kuliah Agama berapa rating Drama bersiri? Secara komparatif…jika drama TV dapat rating 2 Juta, Rancangan kuliah biasanya mungkin nasib-nasib dapat 50,000 penonton.
Mungkin AC Nielson kot yang salah (kita semua masih betul).
Penyembahan IDOLA tanpa kita sedar seperti HARTA, TAHTA dan WANITA. Itu juga digambarkan oleh Allah seperti Al-Lata, Al-Uzza & Al-Mannah (3 berhala utama Jahiliyah Arab yang dipanggil 3 anak Allah). Bukan orang Quraisy tak sembah Allah, bukan orang Quraisy tak beragama “Islam”. Bukankah Islam dan ka’bah itu sudah ada sejak Nabi Ibrahim a.s. lagi.? Tetapi Islam mereka boleh dipijak dan ditendang sahaja kerana mereka juga menyembah SELAIN dari Allah.
Pernah periksa siapa nama betul ABU JAHAL? Takkan ada seorang bapa yang memberikan nama anak mereka ABU JAHAL (Bapa Kejahilan). Negatif betul minda bapa yang memberi nama anak seburuk itu selain itu hanyalah gelaran yang diberikan oleh Nabi kepada HAJI AMRU BIN HISHAM. Ulangsuara…HAJI Amru bin Hisham.
Perniagaan utama Abu Jahal ketika zaman Rasulullah s.a.w. ialah menguruskan Jemaah haji dan pedagang-pedagang ke Masjid suci, Masjidil Haram yang tersergam indah dan menjadi tumpuan perdagangan. Dulu lagipun sudah begitu, sekarang anda dah lihat bagaimana Mekah pada hari ini? Semakin baik atau telah kembali ke zaman Jahilliyah bagi mereka disekitarnya?
Orang German bukan Islam hanya perlu convert Islam secara atas kertas sahaja untuk kontrak pembinaan 25 BILLION EUROS (kira-kira RM100 BILLION). Paris Hilton yang terkenal dengan video kontraversi porno porni beliau pun ada desas desus masuk Islam “atas kertas” sahaja hanya untuk memasuk rangkaian hotel Hilton Mekah yang beliau tidak pernah jejaki sebelum itu. Kontrak pembinaan telaga zamzam sebelum ini dapat ke siapa? Kontrak terowong Mina? Lembu kambing kurban dan Dam dibeli dari mana? Banyaklah kalau nak diceritakan. Dan itu kesemuanya tersalur kepada ‘mereka’ menggunakan wang ibadah Haji dan Umrah Umat Islam sedunia.
SIAPA AL-LATA, AL-UZZA & AL-MANNA.?
Inilah 3 unsur berhala yang telah memperkecilkan Allah dalam soal penyembahan dan pengabdian. Di samping menyembah Allah, Orang Jahilliyah sebelum kenabian juga menyembah ‘Al-Lata’ bagi yang mahu mengejar BINTANG & PANGKAT, ‘Al-Uzza’ bagi mereka yang mahukan KEKAYAAN HARTA, dan menyembah ‘Al-Mannah’ bagi yang mahukan WANITA.
Berbalik kepada soal pokok semula yang menjadi MASALAH KITA HARI INI apabila ramai orang HIDUP terlalu mengutamakan atau mudahnya menyembah Harta, menyembah Tahta / Kuasa dan menyembah Wanita walaupun mereka bersembahyang sehari semalam tanpa tinggal. Haji Amru Hisham aka Abu Jahal juga sembahyang tak pernah tinggal tetapi SEMBAH juga yang lain-lain.
Itulah sebenarnya. Berhala Lata, Uzza & Manna hanya simbol sahaja. Tetapi yang disimbolkan ialah HARTA, TAKHTA & WANITA. Tawaran itu jugalah yang ditolak Rasulullah s.a.w. untuk meninggalkan dakwah baginda. Sanggupkah kita mengikut sunnah itu?
Sama juga dengan artikel kami sebelum ini tentang “KAHWIN LAMBAT KERANA HANTARAN MAHAL”. Itu semua mewujudkan lelaki-lelaki yang kerja siang dan malam untuk menyembah wanita. Kasar guna perkataan “sembah” tetapi satu perbuatan yang anda buat terlalu bersungguh-sungguh itu, Mat Saleh pun panggil dengan terma “Religiously”. Contoh ayat “Please study religiously and you will be successful”.
Berapa ramai juga dari kita yang kerja siang dan malam semata-mata hanya kerana kekayaan sampai kita tak sedar anak di rumah dah mengandung dan siap lahirkan anak beberapa kali dan sempat buang tapi kita tak sedarinya. Sebagai ibu bapa boleh tak anda bayangkan bila anda tahu yang anak 14 tahun sudah 4 kali gugurkan bayi? Gadis 20 tahun sampai 6 kali gugurkan bayi? Anak gadis 16 tahun anda sudah ditiduri 285 jantan berbagai bangsa? Nauzubillah. Itulah antara kes kes yang dirujuk kepada kami.
Mereka ini sembahyang juga, tapi apakah yang mereka dapat dari sembahyang itu sekiranya masih menyembah yang lain? Masih gagal mencegah keji dan mungkar? Kita semua berpuasa tapi apakah hakikat puasa kita? Berapa cupakkan rezeki hasil puasa yang telah kita zakatkan kepada jalan Allah? biasanya boleh dianggap tiada…zakat fitrah RM7 SETAHUN tu pun kadang-kadang miss juga. Adakah lagi orang seperti dalam artikel kami “Haji Lutfi Lokman” yang mempastikan INFAK minima 10% dari pendapatan beliau berlaku samada dalam keadaan susah maupun senang? Spesis itu dah hampir pupus atas dunia. Yang tinggal melata adalah penyembah harta, takhta dan wanita.
MEKAH AMAN TAPI SEKITARNYA BERLAKU RAMPOK MERAMPOK
Di Mekah jahilliah juga tanahnya aman tetapi Allah nyatakan sendiri dalam Al-Quran, Mekah itu tanahsuci yang aman tetapi disekitarnya berlaku rampok merampok (kebejatan). Hari ini kita juga rasa Malaysia aman sehinggalah yang ditembak mati berdas-das dalam kereta itu adalah bapa, anak atau adik beradik kita sendiri. Kita hanya lihat dan biarkan saja rompakan nekad di stesyen minyak depan mata kita sampai selesai tanpa ada kesedaran menolong.
Jika kita tidak jahilliyah, kita mungkin akan merasa nikmat hidup yang aman seperti semasa kemuncak Islam di Damascus di bawah kepimpinan Abassiyah yang penjaranya besar tetapi KOSONG. Hukuman hudud, qisas dan lain-lain juga ada tetapi tiada pula yang dihukum kerana mereka berada dalam ekosistem yang BERKAT (kecukupan).
Terkait artikel kami tentang PM perlukan idea tanpa kepentingan, PM sekarang juga rasa Negara ini aman kerana beliau sendiri tidak mendapat informasi yang tepat, beliau sendiri terlalu dilindungi sehingga beliau sendiri tak boleh nak jadi pemandu teksi seperti Jens Stoltenberg (PM Norway) SECARA TAK DIRANCANG untuk beliau dapatkan info langsung dari rakyat tanpa ditapis-tapis. PM Norway turun ke lapangan rakyat yang telus kerana merasakan beliau mungkin tidak mampu mendapat maklumat telus jika hanya menunggu lapuran dari mereka di sekitar beliau sendiri.
  • Masih lagi rasa, kita bukan di zaman jahilliyah?
  • Masih lagi rasa Islam kita ini masih tulen atau telah kita sekutukan?
  • Berapa minit masa kita untuk Allah sehari, berapa jam kita lakukan untuk diri sendiri?
  • Berapa banyak yang kita niatkan secara lafaz “kerana Allah” tetapi hakikatnya kita bukan lakukan kerana Allah dengan sebenar-benarnya.
Bangkitlah dari kejahilan. Raya korban sudah dekat. Mari sama sama kita korbankan sapi betina ini… tunggu hakikat korban sapi betina di sesi akan datang (QS: 2 ayat 67-71).
Iqra dari
WARGA PRIHATIN

Thursday, October 17, 2013

Sains Haji ... Siri 4

Kami minta maaf kepada sidang pembaca sekalian, perkongsian kami tentang falsafah di sebalik ibadat haji tergendala sebentar bagi memberi laluan kepada asbab tentang isu An-Nisa (wanita) dan fungsi diri wanita itu sendiri. Kami akui, ia agak panas apabila menyentuh isu wanita berbanding penjelasan tentang poligami.
Semasa artikel ini ditulis, salah seorang dari kami akan bermusafir selama sebulan untuk menjalankan ibadat haji. InsyaAllah jika tiada aral, kami juga akan berlintas langsung melalui catatan travelog beliau.
Mari kita teruskan cerita yang tergendala di ‘Falsafah disebalik Kaabah’. Dah mula orang sedar bahawa kaabah bukan satu ‘kotak keramat’ yang menjadi sembahan dan dinding ratapan kayak Sang Yahudi yang meratap dan konfessi di dinding (wall). Sebab itu, pencipta Facebook juga orang Yahudi ini menyediakan wadah WALL secara halus. Lalu tanpa sedar hari ini kita lebih suka meratap nasib di atas “wall” facebook ciptaan mereka itu. Dalam masa yang sama kita jugalah yang menjadi aktivis untuk menentang segala carahidup Yahudi samaada baik ataupun buruk.
BATU SEBAGAI MUTASYABIHAT PERTIMBANGAN
Di satu penjuru Kaabah ada tempat Hajarulaswad. Diriwayatkan ia batu putih dari syurga yang kini HITAM kerana dosa manusia. Bilakah manusia akan bersih dari dosa sehingga batu timbangan dari syurga ini akan menjadi seputih susu semula seperti warna asalnya? Bolehkah kita putihkan semula satu kertas litmus yang telah bertukar merah dan biru dengan kehadiran asid ataupun alkali di dalam makmal kimia? Inilah analogi yang ingin kami kongsikan. Inilah kayu pengukur, inilah batu timbangan mengenalpasti PERSIMPANGAN yang menjadi pemula kepada tawaf kita.
Sayyidina Umar al-Khattab r.a. berkata “ini tidak lain hanya batu, jikalah tidak aku melihat Rasulullah s.a.w. mengucupnya, nescaya tidak akan aku sudi melakukannya”. Jika alQuran diturunkan untuk membaiki akhlak, jika Islam mengatur hidup bahagia berumahtangga, pastilah bukan ujudnya jasad batu itu yang menjadi soal pokok. Kisah disebalik batu itu yang harus kita pertimbangkan. Itulah dia batu timbangan dalam kehidupan manusia, itulah pedoman bagaimana manusia menetapkan prinsip dan polisi dalam keluarga.
Batu timbangan bernama Hajarulaswad juga begitu. Ia tidak pernah akan kembali jadi putih. Yang hitam ialah imej Islam akibat kita tersalah pertimbangan. Yang akan jadi putih ialah jika Islam mampu merahmatkan keluarga dan seluruh alam semula. Itulah satu-satunya komponen Kaabah yang masih kekal dari zaman Nabi Ibrahim AS lagi. Selain dari batu itu, semua bahagian Kaabah yang lain sudahpun di modifikasi mengikut zaman.
Hari ini berbagai-bagai pertimbangan yang mengelirukan dimomok momokkan kepada para ibu. Ada hujjah yang menganjurkan suami/isteri bergaduh seminggu sekali, ada yang menyarankan isteri mesti minta minima RM1500 sebulan elaun dari suami, sekalipun sang isteri juga bekerja dan macam macam lagi pertimbangan yang hitam. Itulah titik mula pembetulan kita… pergi haji untuk mencari hujah asalnya. Tak pasal pasal kami jadi sibuk menjawab semua kekeliruan ini di inbox kami.
NISAK PENENTU SYURGA NERAKA RUMAHTANGGA
Batu itu dinamakan HajarulAswad bersempena nama Siti Hajar sendiri. Itulah KUNCI kebahagian rumahtangga sehingga sebuah rumahtangga itu dirasakan seperti syurga. Begitu juga sebaliknya, seorang isteri juga boleh menjadikan sebuah rumahtangga sepanas neraka. Boleh bayangkan? Kalau tak boleh, mari kami berikan contoh.
Jika suami anda pulang kerja lalu melihat isterinya menyambut di muka pintu dengan muka manis tersenyum, bermata jeli, berbau wangi dan berhias rapi, pasti buat suami selalu nak cepat-cepat balik rumah. Disambut pula bersama anak-anak dan belum sempat suami duduk lagi dah dihulur air minuman pula. Anak-anak pula berperangai baik, terus menemani suami dan bermesra-mesraan. Suami yang penat pun jadi hilang penat. Jangan beralasan isteri pun bekerja, lagi nak sambut suami.! Jika boleh beralasan begitu, kenapa tidak beri alasan isteri bekerja tak boleh solat menyembah Allah?
Situasi kedua pula, suami anda pulang lalu melihat anda dengan bau hanyir ikan dan bawang, berbedak sejuk, berleter, rumah berselerak, nasi tak masak, air pun tak hidang memang wajar-wajarlah kalau suami cepat botak tertekan. Belum cukup 50 tahun dah mati kena serangan angin akhmar.. Baru jadi rasanya macam neraka kan? Semua itu pada fungsi seorang isteri bukan?
Selalu kita dengar Syurga itu dibawah tapak kaki ibu, Syurga Isteri di tapak kaki suami. Selalu juga kami katakan antara ciri syurga ialah Isteri yang bermata JELI, wajah tenang dan membahagiakan. Jika Putih Si Isteri, maka putihlah keluarganya. Hitam Si Isteri maka hitamlah keluarganya. Jika langkah ibu ke syurga, maka kesyurgalah juga anak anaknya. Namun jangan lupa kerana semua anak di neraka juga ada ibunya.
Tetapi, jangan salah anggap pula peranan suami. Peranan suami adalah penetapan hukum (Abal Haqam). Jika boleh kami mudahkan, suami bertindak sebagai Arkitek dan isteri sebagai kontraktornya. Suami sebagai ‘Rob’ (pengatur), Isteri sebagai ‘Amarat’ (pelaksana)nya. Barulah mampu membina keluarga seindah bangunan yang tersusun kukuh (As-Saff, 4).
Mudahnya, jika batu Hajarulaswad itu satu indikator DOSA. Jika putih bermakna tiada dosa, jika hitam bermaksud terlalu banyak dosa. Dan petunjuk itu mampu kita lihat pada wanita. Wajarlah isu wanita sahaja mempunyai surah khusus dalam Al-Quran (An-Nisa). Banyak lagi surah surah lain yang berkaitan dengan wanita demi menunjukkan peri pentingnya peranan wanita dalam keluarga dan masyarakat. Kami ulang, bukan ayat, tetapi SURAH, yang jadi topik khusus.
Lihat sahaja pada isteri / ibu yang kusut masai itu melambangkan keseluruhan keluarganya dalam kecelaruan dosa. Jika ibu / isterinya baik-baik sahaja itu melambangkan keseluruhan keluarga itu juga dalam keadaan terbaik.
Ibu satu jambatan perlaksanaan hukum. Sumber hukum dari bapa / suami. Sebab itu lelaki ketua keluarga dipanggil sebagai Abal Haqam (Bapa Hukum) kerana dasar dan prinsip datang dari bapa. Ibu pula jambatan perlaksanaan, titian Siroot ke syurga kepada anak-anak yang dizahirkan dalam bentuk pendidikan berkasih sayang secara istiqomah. Itulah hakikat “Sirootol Mustaqiim” dalam keluarga syurga. Maka anak akan terdidik menjadi yang terbaik.
Biar kami tanyakan, adakah dalam sejarah ibu yang jahat mampu melahirkan anak sehebat nabi? Contoh Nabi Noh sendiri, apabila isterinya kaput dari keimanan kepada Allah, anak seluruhnya mengikut. Berbanding dengan isteri terbaik yang Allah pandang, Asiah (isteri Firaun) yang mampu mendidik seorang Nabi (Nabi Musa) walaupun suaminya (Bapa hukumnya) orang yang toghut / melampau batas.
Janganlah ibu-ibu dan isteri-isteri yang membaca ini menjadi gusar dengan tanggungjawab anda. Sebaliknya perlu anda timbal semula dengan ketetapan Allah yang meletakkan syurga isteri itu sangat mudah, semudah hanya taat kepada suaminya dan mengerjakan solat, maka mereka akan masuk syurga dari mana-mana pintu yang mereka mahukan. Mengapa hangat isu wanita berkerjaya? Kerana itu salah satu pertimbangan yang harus diambil kira, itu salah satu punca kerosakan dunia. Jangan marah kami kerana itu adalah Sabda Nabi.
Itulah falsafah di sebalik Batu Hitam itu. Ia adalah falsafah pertimbangan sebelum kita mula mengatur langkah menggiring keluarga ke syurga atau neraka. Segalanya memerlukan pertimbangan dan kajian kenapa dan mengapa Islam yang asalnya putih menjadi Hitam dalam keluarga dan masyarakat kita. Dari situ pencarian Hujjah dalam ibadah haji kita bermula.
Mengucup Hajarulaswad hanyalah SUNAT. TETAPI Hari ini untuk mengerjakan yang sunat itu, ramai orang sanggup lakukan yang haram seperti memijak, memukul, menumbuk, menyiku, menolak dan meraba hingga terlalu banyak yang mati lemas dan terpijak asalkan mereka mampu mengucup Hajarulaswad itu.
Ia hanya seketul batu. Ia satu batu tanda representasi “BATU JEMALA” seorang isteri terhadap prinsip dan ketetapan suaminya. Jika isteri menerima arahan suami lalu menjunjungnya di atas batu jemalanya, maka putihlah batu timbangan itu. Jika tidak, hitamlah rupanya.
Falsafah Seterusnya, ialah di sebalik tawaf.
Seperti dalam video di artikel ‘Sains Haji 1’, Ustaz dalam video ceramah di tv3 itu utarakan perkara yang sama. Profesional muda rakannya mengejek rukun haji, beliau jawab jangan banyak tanya mengapa dan kenapa. Hari ini pula, ada anak 4 tahun bertanya mengapa kita tawaf melawan jam, kenapa keliling kaabah, kenapa perlu beristilam (flying kiss), mengapa perlu melambai dan mengapa pula 7 pusingan? Si Ayah hanya menganga saja!.
Insyaallah kami akan sajikan apa yang kami ada pada episod yang akan datang iaitu “FALSAFAH DI SEBALIK TAWAF”.
Jika anda rasa maklumat ini penting dan berguna, janganlah lupa share juga dengan orang lain.
Perkongsian Iqra dari.
WARGA PRIHATIN

Wednesday, October 16, 2013

Sains Haji ... Siri 3

Kaabah seperti yang diketahui umum merupakan tuju arah qiblat kita dalam solat. Tidak kira di mana kita berada dalam dunia ini, qiblat orang Islam hanya satu iaitu Kaabah di Batullah Al-Haram.
SALAH FAHAM TENTANG KAABAH YANG MEROSAK AKIDAH
Sebahagian umat Islam yang mengerjakan umrah dan haji ada yang sampai menangis dan meratap sambil mengusap dinding dan bergayutan di kain Kiswah, kelambu Kaabah. Bila Kaabah dilanda banjir atau sewaktu Kiswah dibasuh, ramai yang berebut-rebut tadah air basuhan itu masuk bekas dan bawa pulang. Fesyen atau ajaran manakah yang mereka ikuti ini? itu belum dikira lagi perbuatan yang pelik-pelik terhadap air zamzam, sampai ada pula yang membuka jubah dan membasahkannya dengan air zamzam.Tabiat bersidai, mengusap-usap batu sambil meratap sudah jadi sama macam tabiat orang Yahudi yang konfes di Wall mereka. Ia sangat ditegah Nabi s.a.w. kerana ia menyerupai Tabiat Yahudi. Gambar sebegini bersepah di internet. Sampai ada anak-anak sekolah kami balik mengadu mereka di hujah oleh rakan beragama Hindu yang mengatakan apa bezanya Batu Cave, Wall Yahudi dan Kaabah, bukankah kamu semua juga menyembah batu? Subhanallah.
Ada pendapat yang naïf pula berkata di dalam itu ada Allah. Wah, bagaimanapula Allah boleh duduk di dalam Kaabah diam-diam selama ini. Bukankah Allah itu ada di mana-mana? Tak kurang pula yang mengatakan bahawa Kaabah itu satu lubang yang boleh kita tembus melihat ke langit ke tujuh. Itupun telah terbukti tiada yang pernah lihat.
Sebahgian yang berminat dengan caj elektromegnetik pula mengaitkan apa saja yang ada di Masjidilharam dengan caj itu. Mereka menelahkan Kaabah itu satu bungkah yang tinggi elektromegnetiknya kerana sentiasa di kelilingi pergerakan lawan jam oleh manusia. Kerana itu ia tidak boleh dikesan setelit. Cuba google sekarang, boleh lihat Kaabah tak? Bahkan air zam zam juga dikatakan terkait dengan caj yang sama. Tiga helai rambut yang dipotong semasa tahlul juga dikaitkan dengan caj juga, kerana ia ibarat entena yang menarik aura syaitan katanya. Ketahuilah, sangkaan dan telahan itu tidak cukup kuat untuk meyakinkan kepercayaan anak-anak milinium kita.
Kami tidak akan menjelaskan semua telahan ini secara lansung. Kami cuma ingin kongsikan rasional yang kami dapati setelah bertahun tahun meneliti. Fokus kajian kami adalah dalam perspektif Sains Psikologi, Sosiologi dan Teologi. Selebihnya kami serahkan kepada pembaca untuk membuat keputusan, yang mana lebih PRAKTIKAL dan EFEKTIF dalam usaha mencari kaedah membangun akhlak keluarga dan agama ini.
SEMBAH ALLAH ATAU SEMBAH KAABAH?
Ramai pada hari ini menyembah Kaabah dan bukan menghalakan diri pada satu qiblat. Pelbagai dongeng yang kita kutip tentang tanggapan apa itu Kaabah telah banyak mempengaruhi tabiat ummat sehingga ada orang sanggup menjilat kain kiswah, kelambu Kaabah itu sendiri. Ini bagi kami adalah sangat menyedihkan..
Perlu diingatkan bahawa ISLAM ialah AGAMA PENYATUAN.
Kita semua DISATUKAN Syahadahnya, kemudian kita menghadap SATU QIBLAT dalam solat, lalu kita berpuasa untuk merasa persamaan Si Miskin dan Si Kaya sebagai SATU keluarga. Selepas mampu rasa keperitan Si Miskin maka seterusnya akan kita keluarkan zakat untuk membantu. Itu salah satu bukti kita BERSATU. Melalui Fardhu HAJI, manusia dihimpunkan di Padang Arafah yang panas dan terbuka. Di situlah pemimpin besar, di situlah jutawan, di situlah fakir miskin dan di situ juga segala bangsa dari yang maju kepada yang paling mundur. Semuanya memakai ihram yang sama warnanya, juga tanda PENYATUAN. Itulah hakikat SATU QIBLAT.
KAABAH LAMBANG PENYATUAN, BUKAN SATU SEMBAHAN
Ada sesuatu yang besar di sebalik Kaabah yang apabila semua umat memahami DENGAN HUJAH YANG KUAT, semua akan melakukan perkara yang sama dengan tepat dan yakin. Ini yang bakal menjadikan Islam itu berjaya, hebat dan mulia. Samada anda suka maupun tidak, yakin atau tidak, ia merujuk kepada “penyatuan SATU kaedah dan aturan hidup” yang menyentuh soal pengurusan sebuah keluarga, sebuah negara dan seorang hamba mengikut SATU ACUAN ATURAN TUHANNYA.
Apabila wajah kita dihadapkan pada satu tujuan, satu matalamat dan aturan yang sama, pasti tujuan itu mampu kita laksanakan sebaik-baiknya. Pernahkah secara serius kita memikirkan tentang apa itu Kaabah dan falsafah di sebaliknya? Kami cuba juga mencari jika pernah ada para alimin berbicara tentang perkara ini sebelum ini, tetapi kami tak jumpanya lagi sampai hari ini.
Bentuk asal Kaabah yang dilakarkan bersatu dengan Hijr Ismail.
Bentuk asal Kaabah yang dilakarkan bersatu dengan Hijr Ismail.
Siti Hajar ditinggalkan bersama Ismail A.S di tengah padang pasir yang kini ialah Kota Mekah.
Siti Hajar ditinggalkan bersama Ismail A.S di tengah padang pasir yang kini ialah Kota Mekah.
Binaan baru berbentuk kuboid ini telah dibina semula semasa zaman sebelum kenabian Muhammad SAW oleh Bangsa Quraisy
Binaan baru berbentuk kuboid ini telah dibina semula semasa zaman sebelum kenabian Muhammad SAW oleh Bangsa Quraisy
Rajah rentas Kaabah yang berdiri atas 3 tiang seri.
Rajah rentas Kaabah yang berdiri atas 3 tiang seri.

Sebenarnya Fizikal Kaabah itu hanya satu binaan berbentuk kuboid yang memiliki satu pintu tanpa tingkap dan diselimuti dengan kelambu hitam. Binaan asalnya dari zaman Nabi Ibrahim tidaklah seperti yang kita lihat sekarang.
Di dalam Kaabah itu ada 3 tiang yang mewakili pelbagai perkara asas yang TIGA, yang tidak boleh DIPISAH-PISAHKAN – Ma badi Thalasa. Itulah sasaran 3x takbir yang antaranya ialah,
1. Tiga tauhid – Rububiyah, Mulkiyyah & Ubuddiyah,
2. Iman, Islam & Ihsan
3. Institusi rumahtangga : Bapa, Ibu dan Anak.
4. Proses Akal : Pendengaran, Penglihatan & Hati
5. Komponen Quran : Hudan, Bainat & Furqaan
Kesemua “Ma Badi Thalasa” itu yang harus kita besarkan, utamakan, laksanakan sepenuh tumpuan atas nama dan ikut aturan dan kehendak Allah. Dengan itu kita jadi kuat, hidup bersatu hati, penuh harmoni dan berkasih sayang.
Itulah juga yang bakal mampu mengalahkan 3 unsur syirik halus yang selama ini kita tidak sedar, iaitu yang menduakan Allah dengan menyembah berhala Latta, Manna & Uzza (SEMBAHAN terhadap TAHTA, WANITA & HARTA). Sembahan pilihan inilah yang merendah-rendahkan keagungan Allah. Ia menghancurkan kesatuan Umat Islam sedunia. Rumah tangga jadi haru biru, umat berpecah belah, tindas menindas kerana unsur TIGA sembahan ini.
Janganlah pula kita jadikan kotak hitam itu satu keramat yang disembah. Yang mahu disembah ialah ATURAN ALLAH itu. Cara kita menyembah ialah dengan mendaulatkan ketiga-tiga komponen tauhid yang tidak boleh dipisahkan, Mabadi Thalasa itu. Itulah dia Rububiyyah (Aturan Islam), Mulkiyah (Tempat Islam) dan Ubuddiyah (Umat Islam). Dengan perlaksanaan tauhid itu barulah kita mampu dapatkan Islam dan Ihsan yang sejati.
Adakah lagi nilai ihsan dari carahidup Islam yang masih segar sekarang ini? Anda jawablah sendiri dalam hati. Yang kami perhati, ketiga berhala tadi telah memenangi hati kita, jauh meninggalkan cinta dan sembahan kita terhadap Allah. Kita sanggup mementingkan diri dan menindas saudara kita demi sembahan itu.
KAABAH ASAS BINAAN RUMAH & RUMAHTANGGA
Kaabah itu dibina dan berasal dari legasi Nabi Ibrahim AS. Kehebatan Nabi Ibrahim ialah baginda tidak mendapat Islam itu percuma seperti kita yang dilahir dan dikandung dalam Rahim seorang ibu yang Islam. Nabi Ibrahim bersungguh-sungguh MENCARI tuhannya (Allah) melalui proses 3 komponen AKAL iaitu Pendengaran, Penglihatan & Hati. TIGA komponen ini di representasikan dengan 3 tiang Kaabah itu sendiri.
Bagi mereka yang benar-benar meneliti sejarah Nabi Ibrahim AS, pasti mereka mampu membuat kesimpulan bahawa asas pasak Agama Islam itu ialah KELUARGA & PERSAUDARAAN. Anda boleh teliti peri pentingnya pembinaan keluarga ini dalam tahiyat akhir, dalam selawat, juga dalam susunan Musyhaf Quran di mana selepas saja Fatihah, kita disedarkan tentang keluarga Lembu Betina, Keluarga Imran, Nisa’ (peranan ibu/wanita) dan al-Ma’idah (hidangan anak-anak Islam yang sempurna). Jika rata-rata baik pendidikan isi keluarga, maka baiklah rakyat sebuah negara.
Asas pasak Islam telah dipraktik dalam rumahtangga Ibrahim A.S. dengan jayanya. Pastinya rumahtangga Nabi Ibrahim telah terbentuk dengan SISTEM ALLAH / SISTEM ISLAM. Dengan sistem yang sama, Nabi Ismail A.S. terhasil sebagai anak yang paling taat sehingga sanggup berkorban demi perintah Allah, dengan restu Ibunya yang mematuhi perintah Allah dan suami. Legasi keluarga ini bersambung seterusnya sehingga Nabi Muhammad SAW mampu kembangkan dari skala keluarga menjadi skala bangsa dan seterusnya PERSAUDARAAN ISLAM sedunia.
BANGUNAN ASAL KAABAH & PEMBENTUKAN SEBUAH KELUARGA
Tahukah anda, Kaabah asalnya tidak sepatutnya berbentuk kuboid? Binaan asal Kaabah itu bercantum terus dengan Hijr Ismail yang berbentuk melengkung. Sebelum zaman kenabian Muhammad SAW, kaum Quraisy telah bertindak membina semula Kaabah itu tetapi diberitakan mereka tidak mahu menggunakan hasil dari maksiat untuk pembinaan penuh tapak Kaabah itu. Maka mereka bina sebahagian sahaja iaitu berupa kuboid kotak yang kita lihat hari ini.
Asalnya, Kaabah memiliki 2 pintu dan sebuah tingkap. Apakah binaan yang ada 2 pintu dengan sebuah tingkap jika ia bukan sebuah rumah? Buktinya, itulah tapak asal rumah Nabi Ibrahim AS. Itulah tempat tinggal yang dipilih semasa Siti Hajar ditinggalkan di tengah padang pasir sendirian bersama Ismail A.S. sementara Nabi Ibrahim A.S. dalam kepergian.
Di satu penjuru ada Hajarulaswad yang akan kami kongsikan falsafah di sebaliknya dalam siri Sains haji yang seterusnya. Selain itu, perhatikan juga tempat Sa’ie, telaga Zamzam dan rumah Nabi Ibrahim a.s. (Kaabah sekarang) yang semuanya berdekatan, seolah-olah semuanya dalam satu halaman rumah sahaja.
Itulah prototaip keluarga Islam yang pertama lalu Allah mahu seluruh umat manusia berkiblatkan SATU SISTEM PEMBENTUKAN KELUARGA ISLAM dari kalangan mereka yang BERSOLAT dan mengerjakan Haji dan Umrah. Tetapi, ramai juga hari ini yang bersolat pun tak tahu mengapa harus dihadapkan wajah mereka terus ke Kaabah? Jika mereka faham, tentu tiada orang yang sanggup jilat dinding Kaabah dan memuja serta menyembah Kaabah.
Di antara ciri-ciri perlaksanaan Islam dalam keluarga Nabi Ibrahim AS yang diabadikan rumahnya menjadi arah qiblat adalah,
  • Rumahtangga Islam ada Sistem Allah di dalamnya
  • Rumah Nabi Ibrahim adalah rumah pertama bersistemkan Islam.
  • Itulah rumah yang terdiri dari bapa yang bijaksana dan yakin dengan peraturan tuhannya, seorang ibu yang sangat patuh mengabdi diri kepada Allah melalui printah suaminya dan seorang anak yang sangat bijaksana, patuh dan menyenangkan hati manusia sekelilingnya.
  • Itulah Rumahku syurgaku – rumah yang sangat sejahtera bagi penghuninya, yang sangat bahagia laksana syurga.
  • Itulah RUMAHTANGGA YANG BERJAYA melalui aturan ALLAH. Bukan rumah yang di dalamnya ada Allah.
InsyaAllah akan kami kongsikan lebih panjang lagi kisah keluarga ini dan kaitannya dengan solat dan haji kita dalam siri akan datang.
Secebis perkongsian dari kami yang mencari asal usul dien dari sirah Nabi.
WARGA PRIHATIN

Tuesday, October 15, 2013

Sains Haji ... Siri 2

Sains Haji 2 : Falsafah di Sebalik Ihram
Rukun pertama Haji ialah Ihram berserta Niat Haji. Apa saja amalan dan ibadah Rasulullah S.A.W. meletakkan niat sebagai penentu keberkatan amalan itu. Ibadah Haji juga tidak terlepas dari niat. Mengapakah Niat Haji diletakkan berserta ritual ikhram?
ISLAM UMMATUN WAHIDAH. UMMAT YANG SATU
Islam itu agama penyatuan yang menitik beratkan kesamarataan nilai dan status umat di sisi Allah. Falsafah itu jelas dilihat dalam kesemua Rukun Islam.
Dalam SYAHADAH contohnya. Setelah kita kenal dan arif tentang Allah dan Rasul melalui sifat-sifat khusus yang sangat agung, kita akan bersyahadah. Jika dulu kita orang yang selalu menyombong diri, menyembah harta, tahta maupun wanita, dengan syahadah insyaAllah kita mampu menyembah HANYA Allah.
Dalam SOLAT pula, 5x sehari kita ulangi ikrar untuk menghadapkan tumpuan wajah, beramal dan berbakti, hidup dan mati HANYA kerana Allah sahaja. Walau kita seorang SULTAN dan hari hari disembah manusia sekalipun, tidak akan sama dengan merendahnya kita kepada Allah sewaktu solat. Kita sujud sehingga ke tahap kepala kita lebih rendah dari punggung tempat keluar najis. Ya, kita sujud minima 17x sehari. Sebijak mana pun akal kita, dahi akan menekan bumi, tempat sujud kita.
Dalam PUASA dan ZAKAT lebih jelas lagi. Kita diperintah berlapar supaya merasai kesusahan si fakir dan anak yatim. Kita diwajibkan berzakat yang FITRAH (yang sepatutnya) untuk membangun Islam agar agama ini dapat membantu mereka yang memerlukan. Hakikatnya kini si miskin terpaksa berlapar dan dahaga berpuasa sambil mengayuh beca atau bekerja di ladang. Waktu buka pun ada yang tiada makanan. Si kaya pula berpuasa dalam hawa dingin. Bahkan ramai yang berpuasa di negeri sejuk yang nyaman dan singkat masa puasanya.
DALAM HAJI, FALSAFAH KEBERSAMAAN INI JUGA TIDAK TERKECUALI.
Dari himpunan kajian umum, juga perkongsian pengalaman dari kalangan pengasas Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) yang sudah Haji atau Umrah di Kota Suci Mekah selama ini menampakkan tentang pelbagai perkara yang telahpun kami lihat melanggar prinsip ihram. Walaupun semua jemaah memakai kain ihram yang sama tetapi falsafah ihram itu sendiri mereka dilanggar secara tidak sedar. Mereka gagal memahami falsafah yang menjadikan ritual ihram itu sebagai salah satu dari Rukun Haji.
Allah tidak perintahkan sesuatu itu sia-sia. Itu termasuk juga dengan ritual “berihram” sebelum masuk ke Tanah Haram. Perlu kita ingat, pada zaman Jahilliyah dahulu pernah berlaku “pelanggaran ihram” apabila Abu Jahal atau nama sebenarnya Haji Amru bin Hisham memberikan layanan lebih istimewa bagi Jemaah haji dari golongan bangsawan dan menyisihkan pula Jemaah haji dari kalangan mereka yang tiada kedudukan.
Hari ini, kita dapat lihat, ada banyak jenis pakej-pakej haji. Ada pakej sehingga ratusan ribu RM. Khemahnya ada penghawa dingin, penerbangannya kelas perniagaan, hotelnya 5 bintang beberapa langkah sahaja jaraknya ke Masjidilharam. Bagi tetamu-tetamu dari kalangan ketua-ketua Negara telah disediakan Istana Tamu hanya bersebelahan dengan Gate King Abdul Aziz. Ramai yang bersolat hanya dari tepi tingkap Istana dan Hotel dan bukannya di Masjid Al-Haram ataupun di lapangan tawaf.
Di Mina pula, mereka ini mendapat khemah yang hampir sangat dengan tempat melontar Jumrah. Mak Datuk mudahnya mereka dalam segala kemewahan membeli kesenangan pada tempat yang memang Allah mahukan kita merasai kesusahan dan ketidakselesaan. Si tua dan simiskin berpanas di Arafah, air mineral pun panas diminum, telur mentah pun boleh masak dijemur. Si tua terbongkok-bongkok dari khemah hujung berjalan kaki berdikit-dikit dengan kesesakan manusia untuk melontar. Ada juga yang tak sampai hajat, bahkan ada yang mati kelemasan terhimpit dan dipijak. Itu berlaku hampir saban tahun tanpa syak lagi, khasnya ketika mengucup HajarulAswad.
APAKAH KAITAN ITU SEMUA DENGAN IHRAM?
Lihat lagi, Jemaah haji kelas yang tinggi dibawa dengan kenderaan mewah. Hummer, GMC, Bentley, Chrysler, Limosin dan banyak lagi menjadi kenderaan mereka sementara Si Miskin bersesak-sesak berdiri berjam-jam dalam bas lama tanpa penghawa dingin. Jika ada penghawa dingin sekalipun, ia sering sengaja dimatikan sehingga jadi `sauna’ dalam `tin sardin’ itu, barulah pemandu buka penghawa dingin TETAPI dengan meminta wang “dalal” (upah) dari setiap Jemaah.
Hotel Zamzam Tower (Royal Clock), Hilton Mekah, Intercontinental & Royal Orchid, Assafwa dan banyak lagi hotel-hotel berkelas 5 bintang memberikan layanan istimewa kepada semua Jemaah kelas atasan ini. Caj penginapan beribu RM semalam. Siap ada SPA dan perkhidmatan Butler lagi.
Sampai bila-bila, Si Kaya tak akan mampu merasa kesusahan Si Miskin dan sampai bila-bila Sang Pemimpin tidak mampu selami perasaan Si Marhaen. Kelas dan dunia mereka diasingkan sama sekali tanpa ada pertembungan persamaan. Itulah benih kapitalis yang sudah berjaya tertanam dalam hati umat Islam sendiri di akhir zaman ini.
Salah satu sebab besar Haji dijadikan salah satu rukun dalam Islam ialah ia satu ibadah penyudah yang melengkapkan Islam melalui ibadah ritual dengan gerakkerja. Antara Gerakkerja yang terbesar ialah pemakaian ihram itu sendiri yang melambangkan PERPADUAN (SOLIDARITI) dan PENYATUAN UMMAH dari seluruh pelusuk dunia. Pelbagai warna kulit, bahasa, budaya dan fahaman politik. Mereka di SAWASIAH (disamakan) dengan pakaian ihram putih itu sendiri. Tiada lagi Gucci, Prada, LV, Salvatore Ferragamo, Chanel atau apa sahaja rekaan butik pereka ternama. Bahkan seluar dalam pun tidak dibolehkan. Yang ada dan boleh dilihat HANYA kain ihram putih 2 helai tak berjahit sahaja bagi lelaki dan pakaian ibadah asas bagi wanita.
Nampak gaya, ihram kini hanya jadi satu ritual dan retorik semata-mata dalam ibadah haji kita. Falsafah pendidikan di sebalik ihram itu sendiri tidak lagi berlaku. Kami tidak pasti samada mereka tidak tahu atau sengaja buat-buat tidak tahu? Si Kaya dengan Si Kaya, Si Miskin dengan Si Miskin. Sangat jelas KETIADAAN kesamaan, penyatuan dan solidariti dalam Islam yang tergambar dalam ritual keseluruhan ibadah haji di Mekah pada setiap tahun.
APA PULA KESAN RITUAL YANG DILALAIKAN ITU PADA HARI INI?
Adakah Islam kini bersatuhati dan kuat? Jangan tipu Allah jika kita tak mampu tipu diri sendiri tentang jawapannya.
Dari apa yang berlaku di lapangan ibadah Haji, kita sudah mampu lihat BAINAT (bukti) yang nyata bahawa Islam sudah tiada solidariti dan hilang kekuatannya. Warna ihram sahaja sama putih tetapi falsafah penyatuan langsung tidak diendahkan. Si Kaya mampu “beli” syurga dan mampu bayar DAM lalu tak kisah langsung jika ada Jemaah lain selamba sahaja dimaki hamun (rafatz) oleh Si Kaya. Banyak wajib haji yang sengaja ditinggalkan, hanya kerana mereka mampu bayar DAM. Kan bagus jika mereka ini beli saja terus tiket untuk masuk ke syurga dengan kekayaan mereka?
Hari ini, Saudi sendiri membiarkan penyembelihan orang Islam di Palastine, Syria, Mesir, Libya, Afghanistan, Iraq dan lain-lain Negara tetangganya. Itulah satu tanda besar tiadanya solidariti. Jika musuh Islam menyerang Bahrain, mungkin mereka akan melenting dan membela. Kerana apa? kerana Bahrain itu Negara kecil yang mempunyai bilangan hotel lebih ramai dari rakyatnya. Banyak Hotel yang di dalamnya dipenuhi segala jenis pelacur, minuman keras yang dihalalkan kepada pelanggan tetap mereka yang berjubah dan berserban kemas sambil di tangannya memegang tasbih. Mereka itu semua dari ARAB SAUDI dan mereka percaya Allah mampu ditipu dengan “kemaksiatan di Bahrain dan bertaubat di Masjidilharam” (Nauzubillah).
MENDALAMI FALSAFAH DI SEBALIK KAIN IHRAM
Ikhram mengingatkan bahawa kita ini hanya HAMBA ALLAH dan bukannya TUAN YANG BERTUHAN atas mukabumi ini. Pemimpin yang zalim, si kaya yang bermewah dan bersenang lenang sepatutnya mampu ditundukkan dengan ritual kesemua rukun Islam termasuk ikhram Haji ini jika mereka dapat merasai kesusahan yang dialami Jemaah yang miskin secara sama rata.
Kami geleng kepala mengetahui pelbagai pakej Haji ditawarkan sehingga ratusan ribu untuk satu kepala. Adakah ibadah mereka itu akan jadi lebih mabrur berbanding Si Miskin yang menggunakan proses haji Muassasah? Ataukah mungkin haji mereka lebih bernilai dari Jemaah Somalia yang berlapar dan menginap di kaki lima? Yang berjalan kaki berbulan-bulan, memikul dagangan dan menumpang kenderaan orang untuk sampai ke Mekah?
Bukankah anda lihat, pola ini sama dengan pola Abu Jahal semasa Jahilliyah? Yang kaya dilayan baik, yang miskin pula “pandai-pandailah” nak hidup. Jika anda fahaminya, anda pasti mampu jawab siapakah Abu Jahalnya pada waktu ini.
Yang nak pergi haji selepas membaca artikel ini kami sungguh-sungguh anda dapat Haji Mabrur. Betulkanlah niat kita. Carilah redha Allah sepanjang mengerjakan ibadah haji di sana dan kembangkan ilmu bersama keluarga dan masyarakat sekembalinya nanti. Bersilatulrahimlah bersama sang fakir dan rakyat yang sedang tertindas di merata dunia. Jika tidak faham bahasa mereka, lihat dan perhatilah “body language” mereka. Habis tidak selami rakan dari negara tetangga yang sama bahasa dan budaya. Kemudian kita rumus bersama bagimana kita-kita boleh jadi begini dan cari apakah kaedah terbaik mengatasinya.
Inilah peluang keemasan yang kita ada. Islam itu agama ilmu, kaya dengan HUJJAH dan penuh strategi. Kutiplah ilmu dan hujjah sesama kita semasa BERIHRAM nanti. Barulah secara sains sosial, sains psikologi dan teologinya haji kita InsyaAllah membawa kebaikan (mabrur) kepada diri, keluarga dan ummat melalui pengumpulan HUJJAH tentang agama ini.
Dari kotak fikir
WARGA PRIHATIN

Monday, October 14, 2013

Salam Aidil Adha...


Hari ni umat Islam yang sedang mengerjakan Haji di Mekah sedang ber Wukuf, 
maka besok akan menyambut Aidil Adha.. 

Salam Aidil Adha buat semua..


Sains Haji ... Siri 1

LAMBAIAN KAABAH : PENJELASAN SAINS DI SEBALIK RITUAL HAJI
Bulan Haji sudah tiba lagi. Penerbangan pertama jemaah haji dari Malaysia telahpun berlepas Jumaat lepas.  Mengiringi keberangkatan pertama itu TV3 ada memanggil seorang Ustaz, Pensyarah sebuah Universiti tempatan untuk merungkai pelbagai persoalan tentang Haji.
Masyaallah pembaca yang dikasihi, sungguh kami amat terkejut dengan fenomena yang diutarakan oleh ustaz tersebut, khususnya pertikaian oleh intelek Muslim dari kalangan rakan beliau sendiri yang memperlekehkan bukan saja kesemua rukun haji yang dianggap mereka mengarut, tiada penjelasan yang jelas dan membuang masa, bahkan mereka mempertikaikan ritual solat juga. Sila lihat sendiri klip video yang kami pautkan di bawah nanti dan nilai sendiri.
Kelmarin kami paparkan video yang menunjukkan 2 juta Muslim Murtad setiap tahun di Indonesia. Ada pula link video yang menunjukkan begitu ramai WAKIL rakyat kita yang berusaha gigih membuka pintu negara ini untuk dimasukki ISRAEL. Kes-kes penggunaan NAMA ALLAH oleh agama lain dan kes-kes harian seperti gejala sosial, maksiat, buang bayi, dadah, pembunuhan rompak merompak yang terlapur dan yang dirujuk kepada kami semuanya sangat ‘alarming’. Itu belum campur lagi kes rasuah, perebutan kuasa dan perpecahan umat yang tidak kita tahu akan berlarutan sampai bila.
Fenomena mempertikai amalan ritual ini sangat bersamaan dengan kes-kes yang dirujuk ibu-bapa kepada kami. Selain dari kes-kes murtad dari apa yang kita baca di akhbar dan blog, banyak sekali kes yang tidak dilapur, yang hanya kita tahu setelah menjadi parah. Ramai sekali anak-anak yang susah payah kita hantar belajar tinggi-tinggi dan kembali kepada kita dengan angkuh untuk menggunakan ‘kepandaian’ mereka mempertikaikan ritual agama mereka sendiri. Lebih membimbangkan kami, terlalu banyak kalangan pelajar sekolah menengah sudah sewenang-wenang mengatakan mereka sudah tidak nampak rasional agama ini.
Jika SYAHADAH terkait dengan penyaksian, SOLAT terkait dengan perhubungan (silah/solawat), PUASA terkait dengan keadaan Ramadh (panas/kacau bilau), penyebab kepada turunnya al-quran (nuzul quran), mendesak umat untuk menahan diri dan perbelanjaan, untuk mengeluarkan ZAKAT yang FITRAH untuk mengembalikan keadaan panas tadi kembali aman dengan perlaksanaan aturan al-quran, maka HAJI pula terkait dengan `hujjah’ yang kukuh untuk mengembalikan iman (kepercayaan) yang semakin longgar dan mengajak umat dunia kepada Islam dengan ILMU.
Ada sebahagian dari kita yang telahpun mengerjakan haji sehingga berbelas kali tetapi apabila mereka kembali ke tanahair, mereka kembali kepada asalnya. Maka, apakah Haji itu satu ritual yang kurang penting sehingga ia dijadikan RUKUN, satu fundamental dalam Islam?
Sains seharusnya kita gunakan untuk membuktikan kebenaran yang mampu meyakinkan manusia kepada agama Allah ini, bukan diguna untuk menunjuk pandai dan mengejek-ngejek agama sendiri, melebihi orang bukan Islam. Melihat fenomena yang sangat mengancam kedaulatan agama ini, maka kami membuat keputusan untuk cuba berkongsi beberapa Applied Science bagi menjelaskan rasional kepada persoalan yang membuatkan anak kita perlahan-lahan meninggalkan agama tanpa kita sedar ini.
Fenomena ini jugalah yang membuat kami sekumpulan saintis dan generasi pendidik ini sanggup berhabis-habisan mencari jalan untuk membendungnya. Kami ingin buktikan bahawa dengan hidayah dari MUKJIZAT al-quran dan meniti sunnah, Islam itu mampu difahami secara saintifik dan boleh dijelaskan secara rasional, bukan emosional dan magik-magik semata-mata. InsyaAllah anak-anak kita nanti dapat diselamatkan akidahnya.
Dengan itu, Pelbagai persoalan akan InsyaAllah kami huraikan dalam siri artikel Sains Haji yang akan kami mulakan dalam sehari dua ini sempena musim haji. Antaranya persoalan seperti berikut,
  • Apa itu kaabah dan sejarahnya?
  • Mengapa kaabah hanya ada 3 tiang di dalamnya?
  • Mengapa perlu ihram?
  • Apa itu tawaf?
  • Mengapa perlu pusing 7 kali? – ini yang disentuh dalam klip video itu.
  • Mengapa kita bertawaf mengelilingi kaabah ikut arah lawan jam?
  • mengapa perlu istilam?
  • Apa signifikan batu Hajaraswad yang dahulu putih kini sudah jadi hitam?
  • Apa itu Hijir Ismail? Pancur Emas?
  • Apa itu makom Ibrahim?
  • Mengapa perlu kita Saie?
  • Mengapa 7 perjalanan dalam saie?
  • Mengapa perlu berlari-lari anak?
  • Apa itu bukit Safa dan Marwa?
  • Mengapa perlu tahlul?
  • Mengapa potong 3 helai rambut?
  • Atau mengapa perlu cukur terus?
  • Apa itu DAM?
  • Apa itu kurban?
  • Apa itu ARAFAH?
  • Mengapa perlu kita wukuf di Arafah?
  • Mengapa perlu bermalam di Mina?
  • Mengapa perlu kutip batu di Mudzallifah?
  • Mengapa perlu melontar jumrah?
  • Mengapa ada 3 jumrah?
  • Mengapa balik haji pakai kupiah? Pakai serban?
  • dan banyak lagi ritual-ritual haji yang mungkin sebelum ini hanya dilihat sebagai ritual sahaja.
Selama ini kita tidak berusaha keras untuk memahami unsur ilmu dan tarbiah di sebalik segala amalan ritual yang telah ditetapkan untuk memelihara agama ini. al-quran yang menjadi silibus kefahaman agama ini juga kurang sekali yang memahami maksudnya sampai katam. Bacaan dalam solat juga ramai di antara anak-anak kita tidak tahu maknanya. Itu belum masuk himpuan Hadis untuk memahami sunnah, selaku pedoman melaksana agama yang tidak kita teliti, kecuali segelintir yang mempelajarinya untuk sekeping PhD. Semuanya kita wakilkan kepada alim ulamak, para ustaz dan tok imam saja sedangkan kita tahu di kubur nanti kita sendiri yang akan menjawab segala-galanya.
Haji juga tidak terlepas dari banyak ilmu dan tarbiah dari ritualnya. Ia pelengkap dan kemuncak perjalanan Islam kita menelusuri setiap rukun-rukun Islam yang lain. Hajinya kita harus pulang membawa hujah yang cukup, hingga mampu berperanan sebagai pemimpin (IMAM) untuk membantu memperkukuhkan akidah dan mensejahterakan carahidup keluarga dan masyarakat berbekalkan ilmu yang kita perolehi dari ibadah Haji ini.
Ikuti siri artikel ini dan anda akan lihat dengan jelas mengapa Haji itu jadi rukun Islam yang ke-5. Pastinya ada pelajarannya yang boleh dihuraikan jika kita membacanya dengan ilmu dibenarkan dengan akal yang bakal membina IMAN yang kukuh dan amal yang menghasilkan islah (pembaikan). InsyaAllah, kami juga akan cuba membawakan lintas langsung dari Kota Makkah & Madinah oleh salah seorang dari rakan co-founder  RPWP yang bakal mengerjakan haji tahun ini.
Sedarlah semua, lemahnya Islam pada hari ini kerana kemalasan kita untuk berfikir tentang ritual-ritual penting dalam Islam. Kami ini bukan golongan terbaik yang wajar menetapkan itu dan ini. Yang ada pada kami ialah sedikit “seni melihat” (iqra’) yang Alhamdulillah berkesinambungan dengan dapatan idea bagaimana segala ancaman terhadap agama dan masyarakat ini boleh diredakan. Kami sangat mengalu-alukan cerdik pandai, para ustaz dan alim ulamak untuk tampil memperbaiki apa yang belum cukup baik ini, bersama-sama kita mencari jalan demi agama Allah dan kesejahteraan anak cucu kita.
Teruskan follow facebook kami dan SHARE lah dengan PERCUMA  supaya lebih ramai yang akan mendapat manafaat dari “hidangan-hidangan” yang kami sediakan.