Skip to main content

Sains Haji ... Siri 4

Kami minta maaf kepada sidang pembaca sekalian, perkongsian kami tentang falsafah di sebalik ibadat haji tergendala sebentar bagi memberi laluan kepada asbab tentang isu An-Nisa (wanita) dan fungsi diri wanita itu sendiri. Kami akui, ia agak panas apabila menyentuh isu wanita berbanding penjelasan tentang poligami.
Semasa artikel ini ditulis, salah seorang dari kami akan bermusafir selama sebulan untuk menjalankan ibadat haji. InsyaAllah jika tiada aral, kami juga akan berlintas langsung melalui catatan travelog beliau.
Mari kita teruskan cerita yang tergendala di ‘Falsafah disebalik Kaabah’. Dah mula orang sedar bahawa kaabah bukan satu ‘kotak keramat’ yang menjadi sembahan dan dinding ratapan kayak Sang Yahudi yang meratap dan konfessi di dinding (wall). Sebab itu, pencipta Facebook juga orang Yahudi ini menyediakan wadah WALL secara halus. Lalu tanpa sedar hari ini kita lebih suka meratap nasib di atas “wall” facebook ciptaan mereka itu. Dalam masa yang sama kita jugalah yang menjadi aktivis untuk menentang segala carahidup Yahudi samaada baik ataupun buruk.
BATU SEBAGAI MUTASYABIHAT PERTIMBANGAN
Di satu penjuru Kaabah ada tempat Hajarulaswad. Diriwayatkan ia batu putih dari syurga yang kini HITAM kerana dosa manusia. Bilakah manusia akan bersih dari dosa sehingga batu timbangan dari syurga ini akan menjadi seputih susu semula seperti warna asalnya? Bolehkah kita putihkan semula satu kertas litmus yang telah bertukar merah dan biru dengan kehadiran asid ataupun alkali di dalam makmal kimia? Inilah analogi yang ingin kami kongsikan. Inilah kayu pengukur, inilah batu timbangan mengenalpasti PERSIMPANGAN yang menjadi pemula kepada tawaf kita.
Sayyidina Umar al-Khattab r.a. berkata “ini tidak lain hanya batu, jikalah tidak aku melihat Rasulullah s.a.w. mengucupnya, nescaya tidak akan aku sudi melakukannya”. Jika alQuran diturunkan untuk membaiki akhlak, jika Islam mengatur hidup bahagia berumahtangga, pastilah bukan ujudnya jasad batu itu yang menjadi soal pokok. Kisah disebalik batu itu yang harus kita pertimbangkan. Itulah dia batu timbangan dalam kehidupan manusia, itulah pedoman bagaimana manusia menetapkan prinsip dan polisi dalam keluarga.
Batu timbangan bernama Hajarulaswad juga begitu. Ia tidak pernah akan kembali jadi putih. Yang hitam ialah imej Islam akibat kita tersalah pertimbangan. Yang akan jadi putih ialah jika Islam mampu merahmatkan keluarga dan seluruh alam semula. Itulah satu-satunya komponen Kaabah yang masih kekal dari zaman Nabi Ibrahim AS lagi. Selain dari batu itu, semua bahagian Kaabah yang lain sudahpun di modifikasi mengikut zaman.
Hari ini berbagai-bagai pertimbangan yang mengelirukan dimomok momokkan kepada para ibu. Ada hujjah yang menganjurkan suami/isteri bergaduh seminggu sekali, ada yang menyarankan isteri mesti minta minima RM1500 sebulan elaun dari suami, sekalipun sang isteri juga bekerja dan macam macam lagi pertimbangan yang hitam. Itulah titik mula pembetulan kita… pergi haji untuk mencari hujah asalnya. Tak pasal pasal kami jadi sibuk menjawab semua kekeliruan ini di inbox kami.
NISAK PENENTU SYURGA NERAKA RUMAHTANGGA
Batu itu dinamakan HajarulAswad bersempena nama Siti Hajar sendiri. Itulah KUNCI kebahagian rumahtangga sehingga sebuah rumahtangga itu dirasakan seperti syurga. Begitu juga sebaliknya, seorang isteri juga boleh menjadikan sebuah rumahtangga sepanas neraka. Boleh bayangkan? Kalau tak boleh, mari kami berikan contoh.
Jika suami anda pulang kerja lalu melihat isterinya menyambut di muka pintu dengan muka manis tersenyum, bermata jeli, berbau wangi dan berhias rapi, pasti buat suami selalu nak cepat-cepat balik rumah. Disambut pula bersama anak-anak dan belum sempat suami duduk lagi dah dihulur air minuman pula. Anak-anak pula berperangai baik, terus menemani suami dan bermesra-mesraan. Suami yang penat pun jadi hilang penat. Jangan beralasan isteri pun bekerja, lagi nak sambut suami.! Jika boleh beralasan begitu, kenapa tidak beri alasan isteri bekerja tak boleh solat menyembah Allah?
Situasi kedua pula, suami anda pulang lalu melihat anda dengan bau hanyir ikan dan bawang, berbedak sejuk, berleter, rumah berselerak, nasi tak masak, air pun tak hidang memang wajar-wajarlah kalau suami cepat botak tertekan. Belum cukup 50 tahun dah mati kena serangan angin akhmar.. Baru jadi rasanya macam neraka kan? Semua itu pada fungsi seorang isteri bukan?
Selalu kita dengar Syurga itu dibawah tapak kaki ibu, Syurga Isteri di tapak kaki suami. Selalu juga kami katakan antara ciri syurga ialah Isteri yang bermata JELI, wajah tenang dan membahagiakan. Jika Putih Si Isteri, maka putihlah keluarganya. Hitam Si Isteri maka hitamlah keluarganya. Jika langkah ibu ke syurga, maka kesyurgalah juga anak anaknya. Namun jangan lupa kerana semua anak di neraka juga ada ibunya.
Tetapi, jangan salah anggap pula peranan suami. Peranan suami adalah penetapan hukum (Abal Haqam). Jika boleh kami mudahkan, suami bertindak sebagai Arkitek dan isteri sebagai kontraktornya. Suami sebagai ‘Rob’ (pengatur), Isteri sebagai ‘Amarat’ (pelaksana)nya. Barulah mampu membina keluarga seindah bangunan yang tersusun kukuh (As-Saff, 4).
Mudahnya, jika batu Hajarulaswad itu satu indikator DOSA. Jika putih bermakna tiada dosa, jika hitam bermaksud terlalu banyak dosa. Dan petunjuk itu mampu kita lihat pada wanita. Wajarlah isu wanita sahaja mempunyai surah khusus dalam Al-Quran (An-Nisa). Banyak lagi surah surah lain yang berkaitan dengan wanita demi menunjukkan peri pentingnya peranan wanita dalam keluarga dan masyarakat. Kami ulang, bukan ayat, tetapi SURAH, yang jadi topik khusus.
Lihat sahaja pada isteri / ibu yang kusut masai itu melambangkan keseluruhan keluarganya dalam kecelaruan dosa. Jika ibu / isterinya baik-baik sahaja itu melambangkan keseluruhan keluarga itu juga dalam keadaan terbaik.
Ibu satu jambatan perlaksanaan hukum. Sumber hukum dari bapa / suami. Sebab itu lelaki ketua keluarga dipanggil sebagai Abal Haqam (Bapa Hukum) kerana dasar dan prinsip datang dari bapa. Ibu pula jambatan perlaksanaan, titian Siroot ke syurga kepada anak-anak yang dizahirkan dalam bentuk pendidikan berkasih sayang secara istiqomah. Itulah hakikat “Sirootol Mustaqiim” dalam keluarga syurga. Maka anak akan terdidik menjadi yang terbaik.
Biar kami tanyakan, adakah dalam sejarah ibu yang jahat mampu melahirkan anak sehebat nabi? Contoh Nabi Noh sendiri, apabila isterinya kaput dari keimanan kepada Allah, anak seluruhnya mengikut. Berbanding dengan isteri terbaik yang Allah pandang, Asiah (isteri Firaun) yang mampu mendidik seorang Nabi (Nabi Musa) walaupun suaminya (Bapa hukumnya) orang yang toghut / melampau batas.
Janganlah ibu-ibu dan isteri-isteri yang membaca ini menjadi gusar dengan tanggungjawab anda. Sebaliknya perlu anda timbal semula dengan ketetapan Allah yang meletakkan syurga isteri itu sangat mudah, semudah hanya taat kepada suaminya dan mengerjakan solat, maka mereka akan masuk syurga dari mana-mana pintu yang mereka mahukan. Mengapa hangat isu wanita berkerjaya? Kerana itu salah satu pertimbangan yang harus diambil kira, itu salah satu punca kerosakan dunia. Jangan marah kami kerana itu adalah Sabda Nabi.
Itulah falsafah di sebalik Batu Hitam itu. Ia adalah falsafah pertimbangan sebelum kita mula mengatur langkah menggiring keluarga ke syurga atau neraka. Segalanya memerlukan pertimbangan dan kajian kenapa dan mengapa Islam yang asalnya putih menjadi Hitam dalam keluarga dan masyarakat kita. Dari situ pencarian Hujjah dalam ibadah haji kita bermula.
Mengucup Hajarulaswad hanyalah SUNAT. TETAPI Hari ini untuk mengerjakan yang sunat itu, ramai orang sanggup lakukan yang haram seperti memijak, memukul, menumbuk, menyiku, menolak dan meraba hingga terlalu banyak yang mati lemas dan terpijak asalkan mereka mampu mengucup Hajarulaswad itu.
Ia hanya seketul batu. Ia satu batu tanda representasi “BATU JEMALA” seorang isteri terhadap prinsip dan ketetapan suaminya. Jika isteri menerima arahan suami lalu menjunjungnya di atas batu jemalanya, maka putihlah batu timbangan itu. Jika tidak, hitamlah rupanya.
Falsafah Seterusnya, ialah di sebalik tawaf.
Seperti dalam video di artikel ‘Sains Haji 1’, Ustaz dalam video ceramah di tv3 itu utarakan perkara yang sama. Profesional muda rakannya mengejek rukun haji, beliau jawab jangan banyak tanya mengapa dan kenapa. Hari ini pula, ada anak 4 tahun bertanya mengapa kita tawaf melawan jam, kenapa keliling kaabah, kenapa perlu beristilam (flying kiss), mengapa perlu melambai dan mengapa pula 7 pusingan? Si Ayah hanya menganga saja!.
Insyaallah kami akan sajikan apa yang kami ada pada episod yang akan datang iaitu “FALSAFAH DI SEBALIK TAWAF”.
Jika anda rasa maklumat ini penting dan berguna, janganlah lupa share juga dengan orang lain.
Perkongsian Iqra dari.
WARGA PRIHATIN

Comments

Popular posts from this blog

Kalau Grab di Perlis - Inspired By Copilot

Entri kira muat...

Kasihani lah....