Suasana Perpustakaan Di Malaysia Perlukan Perubahan Bosan, tidak menarik dan hanya akan pergi sekiranya terpaksa sahaja. Itu adalah jawapan 'jujur' yang diberikan tatkala ditanya akan pandangan orang ramai berkaitan dengan perpustakaan negara. Tidak sekadar itu, mereka juga menganggap gedung ilmu itu hanya sesuai bagi golongan kanak-kanak dan penuntut institusi pengajian tinggi serta tidak bagi mereka yang sudah melepasi dunia itu. Bagi komuniti ini, perpustakan hanyalah sebuah institusi pencarian atau rujukan terbaik dalam proses melengkapkan kajian atau bidang penyelidikan. Walhal, objektif perpustakaan adalah luas peranannya termasuk dalam meningkatkan budaya membaca masyarakat. Namun begitu, untuk melabelkan golongan ini tidak membaca mungkin bukan satu pencaturan yang tepat. Ini kerana, kewujudan pelbagai aplikasi teknologi hebat seperti iPhone, iPad, Blackberry membolehkan pembacaan berlaku di mana sahaja tanpa memerlukan mereka ke perpustaka...