Skip to main content

PH tajdidkan Tabung Haji (rencana)


PH tajdidkan Tabung Haji
XIFU NASER |Harian Metro| 09 Apr 2019


SAYA tertarik dengan kenyataan Ketua Penerangan Pas Kedah, Ustaz Ahmad Yahya, seperti yang dilaporkan oleh Harakahdaily.net dengan tajuk bombastik iaitu “PH TIDAK MAMPU KEKAL HIBAH TH”.

Penulis tertanya apakah hibah lebih utama daripada ketelusan pengurusan kewangan bagi “ulama-ulama” pembangkang? Kalau Tabung Haji (TH) mampu bayar hibah yang tinggi, maka barulah ulama-ulama ini akan berdiam diri? Harakahdaily melaporkan Ustaz Ahmad Yahya berkata, "Pengumuman hibah Tabung Haji sebanyak 1.25 peratus telah memberikan imej yang tidak baik kepada pengurusan kerajaan Pakatan Harapan (PH).”

Konsep “jaga imej” ini ditonjolkan di sini tetapi bagaimana pula “jaga imej” Islam sebagai agama yang tidak menghalalkan pembohongan demi parti? Saya teringat perjuangan pendakwah-pendakwah hebat yang bermati-matian memperjuangkan agar setiap mualaf yang peluk Islam tidak dibin/bintikan Abdullah kerana ini akan mencemarkan “imej” Islam yang menjaga maqasid nasab atau keturunan keluarga.

Mereka tidak mahu imej Islam dicemarkan dengan titnah bahawa masuk Islam maknanya membuang keluarga. Mereka menghadapi pelbagai cercaan pada permulaan dakwah oleh budaya agamawan yang lebih jaga imej mereka sendiri daripada jaga imej Islam. Apakah penjagaan imej hanya perlu diketengahkan di peringkat nasional bila timbul isu periuk nasi parti dan isu kekurangan hibah?

Ustaz Ahmad risau sebahagian besar pelabur-pelabur TH akan mengeluarkan wang mereka
dan ini akan menjatuhkan TH yang banyak berjasa. Persoalannya, adakah ulama-ulama pembangkang akan menyembunyikan kebenaran dalam isu keaiban kewangan tetapi membuka keaiban dengan luasnya dalam kes lesbian berkhalwat dan dalam sebarang isu yang dapat dijadikan alasan untuk jatuhkan parti lawan?

Isu yang mendedahkan keaiban parti mereka seperti bai’ah talak tiga pula disembunyikan. CEO TH, Datuk Seri Zukri Samat, memberi satu maklumat yang pembangkang tidak patut diamkan. Hampir separuh daripada tabung pendeposit TH dikuasai oleh hanya 1.3 peratus penyimpan. Penyimpan-penyimpan ini adalah super kaya. Jelas tujuan penyimpan super kaya ini adalah untuk mencari keuntungan melalui TH yang mendapat jaminan kerajaan seratus peratus dan beberapa kelebihan kewangan yang tidak ada pada bank biasa.

Tambah lagi, akta TH selama ini tidak memperuntukkan had untuk penyimpan. Memang syurga untuk yang super kaya. Mengapa kerajaan lama yang memperjuangkan roh Islam tidak ketengahkan isu kapitalisme dalam TH selama ini?

Bagi pihak yang mengkritik bahawa TH ditadbir oleh bukan Muslim di bawah PH, ia patut bermuhasabah tentang apakah roh Islam yang diperjuangkan oleh kerajaan Muslim dulu?  Apakah usaha menjadikan TH sebagai kelab pelaburan untuk super kaya itu roh Islam? Apakah guru Matematik wajib seorang Muslim baru wujud roh Islam? Apakah usaha menyalahkan kerajaan baharu kerana gagal memberi hibah yang tinggi itu roh Islam? Para ulama yang menyalahkan kerajaan atas kekurangan peratus hibah adalah juga salah satu faktor yang memaksa kerajaan lama untuk buat apa saja demi untuk kekalkan hibah yang tinggi.

Melabur di TH bukan sekadar kumpul duit pergi haji. Pendeposit super kaya yang sudah pasti mengerjakan haji dan umrah banyak kali sudah pasti mahu juga pulangan yang lumayan. Ulama-ulama pembangkang adalah alat yang paling efektif untuk menyuarakan hasrat mereka. Salahkan PH. Salahkan bukan Muslim yang tiada roh Islam. “Roh Islam” bagi agamawan kapitalis maknanya pelaburan wang yang semestinya menjanjikan pulangan lumayan.
Maka, TH di bawah kerajaan lama didapati membuat banyak pelaburan dalam ekuiti melebihi 50 peratus yang berisiko tinggi. Tekanan kapitalis untuk kekalkan hibah 4 peratus ke atas memaksa TH membuat pelaburan berani mati. Makin tinggi risiko pelaburan, makin lumayan pulangan. Kerajaan lama memilih untuk membuat pelaburan berisiko tinggi demi kekalkan hibah yang tinggi. Kalau pelaburan rugi pun tidak perlu dirisaukan sangat. TH dijamin selamat seratus peratus oleh kerajaan. Apa-apa pun, kerajaan akan menanggung kerugian semuanya. Kelab super kaya tetap selamat.

Ada ulama yang pastinya akan membela. Inilah yang kerajaan PH cuba sedarkan rakyat. Tetapi adakah kamu sedar?


* Abdul Naser Tun Rahman ialah Tokoh Pendakwah Perak

Comments

Popular posts from this blog

Kalau Grab di Perlis - Inspired By Copilot

Entri kira muat...

Kasihani lah....