Skip to main content

Istilah Dalam Hadis


Istilah-Istilah Asas Ilmu Hadis
Terdapat banyak istilah-istilah yang lazim digunakan apabila berbicara tentang ilmu hadis. Penuntut ilmu perlu memahami maksud istilah-istilah ini agar apa yang dibincangkan dapat difahami sebaik-baiknya. Disenaraikan di sini beberapa istilah yang lazim digunakan:
1- Al-Hadis (الحديث): Ia bermaksud apa-apa sahaja yang disandarkan kepada nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berupa perbuatannya, perkataannya, persetujuan/taqrirnya, sifat bentuk tubuhnya, akhlaknya, sama ada sebelum dilantik menjadi rasul atau selepas dilantik.
2- Al-Sunnah (السنة): Di sisi ulama hadis, ia mempunyai maksud yang sama dengan al-Hadis. Akan tetapi pada disiplin ilmu yang lain, ia membawa maksud yang berbeza:
Ulama Usul al-Feqh: As-Sunnah ialah apa yang disandarkan kepada nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sama ada perkataan, perbuatan, atau persetujuan baginda yang berkaitan dengan salah satu satu hukum taklifi; wajib, haram, sunat, makruh, harus.
Ulama feqh/Fuqaha’: As-Sunnah ialah lawan kepada wajib, iaitu sunat/mandub. Ia bermaksud pelakunya akan mendapat pahala, akan tetapi meninggalkannya tidaklah berdosa.
Ulama Aqidah: As-Sunnah ialah perkataan lawan kepada bid’ah. Oleh sebab itu terdapat banyak kitab-kitab aqidah menggunakan perkataan as-Sunnah.
3- Khabar (الخبر):
a- Ia juga perkataan lain yang merujuk kepada al-Hadis/as-Sunnah.
b- Adakalanya ia digunakan untuk riwayat yang datang selain daripada nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.
c- Kadangkala ia digunakan secara umum untuk semua riwayat, tidak kira ia datang daripada nabi sallallahu ‘alaihi wasallam atau selain nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.
4- Al-Athar (الأثر):
a- Membawa maksud yang sama dengan al-Hadis/as-Sunnah. Oleh sebab itu Imam at-Tahawi menamakan kitabnya Syarah Ma’ani al-Athar (شرح معاني الأثر)
b- Ia merupakan riwayat yang datang selain daripada nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.
c- Ia merupakan riwayat yang datang daripada sahabat/hadis mauquf (موقوف)
d- Ia umum merangkumi riwayat daripada nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dan selain daripada nabi sallallahu ‘alaihi wasallam
5- Al-Matan (المتن): Teks hadis yang datang selepas sanad.
6- Al-Sanad (السند): Jalan periwayatan sesuatu riwayat.
7- Al-Sanad Al-‘Aliy (السند العلي): Sanad yang mempunyai perawi yang sedikit berbanding sanad yang lain.
8- Al-Sanad Al-Nazil (السند النازل): Sanad yang mempunyai lebih ramai perawi berbanding sanad yang lain.
9- Al-Thoriq (الطريق): Bermaksud sanad
10- Al-Mutabi’ (المتابع): Satu riwayat yang datang daripada sahabat nabi sallallahu ‘alaihi wasallam yang sama, akan tetapi pada perawi-perawi selepasnya terdapat beberapa orang yang meriwayatkan daripada shaikh yang sama.
11- Al-Syahid (الشهيد): Satu hadis yang diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat.
12- Al-Musnad (المسند): Ia mempunyai beberapa maksud antaranya:
a- Kitab hadis yang disusun mengikut nama sahabat seperti Musnad Imam Ahmad.
b- Hadis yang bersambung sanad hingga kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.
c- Bermaksud sanad
13- Al-Muhaddis (المحدث): Ilmuan yang menyibukkan dirinya dalam disiplin ilmu hadis.
14- Al-Sahabi (الصحابي): Sesiapa yang berjumpa nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dalam keadaan beriman, dan mati dalam keadaan Islam.
15- At-Tabiiy (التابعي): Sesiapa yang berjumpa sekurang-kurangnya seorang sahabat ketika dia dalam keadaan Islam dan mati dalam keadaan Islam.
16- Tabi’ at-Tabiiy (تابع التابعي): Sesiapa yang berjumpa dengan sekurang-kurangnya seorang tabiin dalam keadaan Islam dan mati dalam keadaan Islam.
*Ini merupakan petikan daripada kertas kerja pembentangan Dr. Ustaz Rozaimi Ramle - Hadith dalam seminar hadis anjuran Al-Kahfi.
*Istilah-istilah di atas hanya diterangkan secara ringkas sahaja.

DiPetik Dari Facebook Dr Rozaimi

Comments

Popular posts from this blog

Entri kira muat...

Oh bulan mana bintang? Atas puncak kayu ara Oh cik puan mana hilang? Dalam dapur atas para

Salam Maghrib.. Sudah² ka.. moh le balik..