Skip to main content

RIWAYAT SEJARAH SAHABAT : ANTARA FAKTA DAN KEKELIRUAN (siri ke-3)

...sambungan siri lepas
RIWAYAT SEJARAH SAHABAT : ANTARA FAKTA DAN KEKELIRUAN (siri ke-3)
Inilah juga kaedah yang telah digariskan oleh al-Imam al-Tabari sendiri dalam penulisan sejarahnya. Abu Ja’far Muhammad ibn Jarir al-Tabari mengatakan:
فما يكن في كتابنا هذا من خبر ذكرناه عن بعض الماضين مما يستنكره قارئه، أو يستشنعه سامعه، من أجل أنه لم يعرف له وجها في الصحة، ولامعنى في الحقيقة، فليعلم أنه لم يؤت في ذلك من قبلنا، وإنما أتى من قبل بعض ناقليه إلينا؛ أنا أنما أدينا ذلك على نحو ما أدي إلينا.
“Apa yang terkandung di dalam kitabku ini tentang sebahagian kisah orang yang terdahulu. Antara berita tersebut ada yang menyebabkan pembacanya merasa pelik atau pendengarnya merasa jelik. Ini kerana dia tidak dapat menerimanya sebagai sesuatu yang benar atau sesuatu yang hakikat. Maka hendaklah dia mengetahui bahawa berita-berita tersebut bukan datang daripadaku, tetapi ia datang daripada orang yang menyampaikannya kepadaku. Aku telah meriwayatkannya seperti yang disampaikan kepadaku”. (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil. 1, hlm. 8) Inilah kenyataan al-Tabari dalam menggariskan manhaj (method) atau kaedah yang diguna pakai olehnya dalam penulisan sejarah. 

Muhammad Fathi ‘Uthman mengulas tentang Tarikh al-Tabari dengan berkata: “Al-Tabari telah memasuki medan sejarah menerusi pintu (disiplin) hadis dan tafsir iaitu beliau menganggap peristiwa-peristiwa sejarah (disiplinnya) adalah sama seperti hadis-hadis Nabi s.a.w dari segi periwayatannya. Setiap berita mesti disanadkan (disanadkan) kepada pembawanya dan mesti diikuti rangkaian sanadnya sehingga sampai kepada beritanya yang asal. Ini kerana, sanad adalah satu-satunya bukti dalam menentukan kesahihan riwayat atau sebaliknya. Oleh itu, al-Tabari begitu berhati-hati agar setiap riwayat disandarkan kepada pembawanya. Di samping itu, beliau turut menyebut silsilah sanad dalam setiap keadaan. Justeru, kita dapati kebanyakan riwayat al-Tabari adalah berbeza-beza dan bercanggah anatar satu dengan yang lain. Oleh itu kita mestilah melihat setiap riwayat yang diriwayatkannya itu dengan berhati-hati dan mengkajinya”. (Muhammad Fathi ‘Uthman, Al-Madkhal ila al-Tarikh al-Islami, hlm. 67). Di atas dasar ini kita katakan, slogan al-Tabari ialah: “Keputusannya terletak pada perawi” (Muhammad Fathi ‘Uthman, Al-Madkhal ial al-Tarikh al-Islami, hlm. 165).

Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi dalam membahaskan manhaj sejarawan Islam terutamanya al-Tabari, juga menjelaskan: “Para ahli sejarah Islam telah menulis himpunan riwayat yang begitu banyak dalam penulisan mereka. Mereka mencampuradukkan antara yang sahih dengan yang palsu lagi dusta. Mereka tidak mengasingkan apa yang sahih daripada yang sebaliknya. Mereka juga tidak mentakhrijkan riwayat tersebut dan tidak pula menjelaskan kedudukan perawinya. Namun begitu mereka meriwayatkan riwayat-riwayat tersebut secara bersanad. Mereka juga menyebut perawi-perawi bagi setiap sanad. Selain itu, mereka juga menyebut bagi sesuatu kejadian itu, berbagai-bagai riwayat yang berulang-ulang, bercanggah dan bertentangan antara satu dengan yang lain. Ini bukanlah bererti kehendak mereka adalah untuk berpegang, mempercayai dan menerima kandungannya, tetapi yang menjadi tujuan mereka ialah menunaikan amanah ilmu. Inilah faktor yang menyebabkan mereka mencatat dan menulis setiap berita yang sampai kepada mereka sama ada riwayat itu benar, dusta, betul atau salah”. (Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi, Qabasat Tarikhiyyah, hlm. 7)

Dengan ini jelas bahawa segala kekeliruan dan penyelewengan dalam riwayat tersebut bukanlah berpunca daripada al-Tabari. Ini kerana peranan al-Tabari hanyalah menghimpunkan riwayat yang disampaikan kepadanya dan disertakan sanad untuk membolehkan kita membuat kajian bagi setiap riwayat yang dibawa. Tokoh sejarahwan besar Muhibb al-Din al-Khatib menegaskan: “....Tarikh al-Tabari menyebut peristiwanya dnegan disanadkan kepada perawi-perawinya. Dikalangan mereka ada yang benar dan ada pula yang pendusta. Ahli sejarah yang mengetahui keadaan perawi-perawi dapat membeza antara yang benar dengan yang palsu. Adapun mereka yang tidak mengetahui tentang ilmu sanad, mereka akan sesat dengan kesesatan yang jauh apabila mereka membaca Tarikh al-Tabari” (Muhib al-Din al-Khatib, Ta’liqat al-‘Awasim min al-Qawasim, hlm. 260).

Justeru, menjadi tanggungjawab bagi setiap pengkaji sejarah untuk menyemak peribadi atau latar belakang setiap perawi yang membawa kisah yang buruk tentang para sahabat Nabi s.a.w.


dipetik dari DrMaza.com
bersambung...

Comments

Popular posts from this blog

Kalau Grab di Perlis - Inspired By Copilot

Entri kira muat...

Kasihani lah....