Skip to main content

Tanah Jerlus di tambun Tulang Perlis

KANGAR (Utusan) 2 Feb. - Larangan pihak berkuasa agar orang ramai tidak mengambil air daripada lubang yang terjadi akibat kejadian tanah jerlus di Kampung Tambun Tulang di sini, tidak dihiraukan apabila mereka terus berkunjung untuk mengambil air yang dipercayai boleh menjadi penawar penyakit tertentu.

Tinjauan Mingguan Malaysia hari ini juga mendapati kain rentang melarang perbuatan itu yang dipasang oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan Jabatan Agama Islam Negeri Perlis telah dikoyak dan dibuang ke dalam parit berdekatan.

Malah, berhampiran lubang itu juga kelihatan kulit-kulit limau dan akar sintok yang dipercayai digunakan pihak tidak bertanggungjawab bagi tujuan tertentu.

Seorang penduduk kampung itu, Kamaruddin Kasim, 50, berkata, dia terkejut dan kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

“Tindakan membuang kain rentang amaran itu boleh menyebabkan orang yang tidak mengetahuinya terus mengambil air dari lubang tersebut yang telah disahkan mempunyai keasidan yang tinggi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Isnin lalu akhbar melaporkan penduduk di Tambun Tulang di sini gempar apabila berlaku tanah jerlus di sebuah kawasan sawah padi yang membentuk seperti sebuah telaga.

Jabatan Agama Islam Negeri Perlis, Jabatan Kesihatan Perlis dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah memasang kain rentang yang melarang pengambilan air yang boleh memudaratkan kesihatan itu dan membawa kepada syirik.

Seorang pelajar, Mohd. Azrol Mohammad, 21, memberitahu, perbuatan membuang dan mengoyakkan kain rentang pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing itu adalah tindakan keterlaluan.

“Jabatan kesihatan dan jabatan agama bukan meletakkan kain rentang itu tanpa tujuan sebaliknya mereka adalah pihak yang lebih arif dalam bidang masing-masing,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk yang enggan dikenali menggesa kerajaan negeri menutup lubang berkenaan kerana dikhuatiri menjadi tempat pemujaan pihak tertentu untuk mendapatkan nombor ekor berdasarkan penemuan limau nipis dan akar sintok.

“Jika benar mereka melakukan perkara ini, ia nyata perbuatan khurafat dan saya berharap lubang tersebut dikambus segera,” ujarnya.


KANGAR (Utusan) 29 Jan. – Air dalam lubang yang berpunca daripada tanah jerlus di kawasan sawah di Kampung Tambun Tulang, Arau di sini, didapati mengandungi kandungan asid yang tinggi dan berbahaya untuk diminum.

Pegawai Jabatan Mineral dan Geologi Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, Zahir Yahya berkata, ujian awal yang dilakukan mendapati air itu berada pada tahap pH5 dan tidak sesuai untuk diminum walaupun telah dimasak.

Katanya, kajian yang dilakukan juga mendapati punca air tersebut daripada mata air dan tidak sama dengan parit berdekatan.

‘‘Ini adalah kejadian biasa dan selalu berlaku di beberapa buah negeri terutama di kawasan Ipoh, Perak dan negeri-negeri lain.

‘‘Ia berpunca daripada penurunan paras air bawah tanah dan ini menyebabkan lohong yang terdapat di dalam tanah tidak dapat menahan bebanan dan runtuh,” katanya ketika ditemui hari ini.

Turut melawat tempat kejadian Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang.

Semalam, akhbar melaporkan penduduk di Kampung Tambun Tulang gempar apabila tanah jerlus yang terjadi membentuk sebuah lubang seakan telaga selebar kira-kira tiga meter dan sedalam dua meter.

Ekoran kejadian yang dianggap aneh itu orang ramai mengambil kesempatan mengambil air tersebut bagi tujuan perubatan tradisional dan sebagai air penawar.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati rata-rata pengunjung yang datang membawa botol bagi mendapatkan air itu sehingga paras air dalam lubang tersebut hampir kering.

Zahir berkata, kajian lanjut terhadap air dan tanah kawasan itu akan dibuat untuk mengetahui tahap keselamatan dan perkara lain yang berkaitan.

‘‘Kajian geofizik akan dilakukan kerana pada musim kemarau begini kemungkinan ia akan berlaku di kawasan berdekatan yang lain,” ujarnya.

Sementara itu, Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin meminta orang ramai yang mengambil air tersebut menjauhi sebarang perbuatan syirik dan khurafat.

Katanya, perbuatan mengambil air untuk dijadikan air penawar dan sebagainya adalah perbuatan yang terpesong dari ajaran agama Islam.

‘‘Semua ini karut, perbuatan khurafat dan tidak mendatangkan faedah. Lebih baik hentikan perbuatan ini dan biar pihak yang terlibat membuat kajian saintifik.

‘‘Kalau mengikut sains air mineral memang berkhasiat dan tidak perlu ambil dari tempat yang tidak diketahui punca dan kandungannya,” katanya selepas melawat tempat runtuhan.

Dr. Mohd. Asri berkata, untuk tindakan awal papan tanda yang melarang perbuatan syirik akan ditempatkan di ‘telaga’ itu secepat mungkin.

‘‘Kemudian khutbah mengenainya akan disampaikan di masjid-masjid pada solat Jumaat ini,” ujarnya.

Shahidan Beri Tempoh Seminggu Untuk Kajian Tanah Jerlus

KANGAR, 29 Jan (Bernama) -- Kewujudan rongga batu kapur dan pergerakan air bawah tanah dipercayai menjadi punca tanah jerlus di kawasan sawah di Tambun Tulang malam semalam, dan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim mahu Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia mengemukakan laporan mengenai kejadian itu dalam tempoh seminggu.

Beliau berkata kajian itu penting bagi mengetahui tahap keselamatan kawasan itu yang merupakan salah sebuah kawasan pengeluaran padi utama di Perlis.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat kawasan tanah jerlus itu hari ini, beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) juga diminta melakukan kajian.

Shahidan berkata kerajaan memutuskan untuk menimbus kawasan itu secepat mungkin supaya ia boleh digunakan semula untuk kerja-kerja persawahan musim akan datang selain mengelakkan orang ramai menyalahgunakan air di situ untuk tujuan khurafat.

Ini berikutan banyak penduduk terutama dari luar Perlis mengambil air dari kawasan tanah jerlus itu untuk tujuan rawatan tradisional.

"Air tu bukan boleh buat ubat tapi mungkin bawa penyakit jika menggunakannya kerana ada asid," katanya.

Shahidan berkata kawasan itu mempunyai rongga batu kapur dan kira-kira 10 meter di bawah tanah di kawasan itu terdapat batu hampar.

Sementara itu, Jabatan Mineral dan Geosains berkata lubang yang selebar tiga meter dan sedalam empat meter itu perlu ditimbus bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Pegawai Kajibumi jabatan itu, Zahir Yahya percaya pembentukan rongga yang disokong pengaliran air bawah tanah serta aktiviti pereputan jerami secara semula jadi menjadi punca utama pembentukan lubang berkenaan.

Zahir berkata kajian menyeluruh diperlukan bagi mengenal pasti punca utama kejadian itu dan pihaknya turut mengambil sampel tanah serta air untuk dianalisis.

Tinjauan BERNAMA di tempat kejadian mendapati orang ramai termasuk dari luar Perlis memenuhi kawasan itu bagi mendapatkan bekalan yang mereka percayai mujarab untuk rawatan tradisional.

Ada yang mengambil air yang mulai keruh itu untuk diminum, membersih muka dan ada yang mengisinya ke dalam botol manakala gerai makanan juga didirikan di kawasan sekitar.

Anggota polis turut kelihatan berkawal di kawasan itu dan pagar juga dipasang bagi mengelak orang ramai menghampiri pinggir lubang itu.

Zahir berkata kejadian di Tambun Tulang sebenarnya yang ketiga berlaku di Perlis selepas pembentukan tujuh kawah besar yang memusnahkan sebahagian besar Kem Oran di Chuping pada tahun 2000.

Selain itu, kejadian yang sama pernah berlaku di Wang Ulu pada tahun 1982.





Gambar : Ehsan Mat Kayangan

Hmm.. entah la.. macam mana aku nak kata yer.. sebenarnya nak terlalu percaya tentang keajaiban pon, aku rasa tak kena juga, boleh melibatkan akidah kita juga kan.. yang senang bagi aku semua ni datang dari PenciptaNya.. untuk kita renungi bersama, untuk kita sedar tentang kekuasaanNya.. juga sebagai satu cabaran kepada iman kita, setinggi dan sedalam mana iman kita untuk menerima semua nih.

Comments

Popular posts from this blog

Entri kira muat...

Jemputan