Skip to main content

Sains & Puasa... Part2

SAINS DI SEBALIK RITUAL PUASA - Part 2


Bersambung dari artikel yang agak viral untuk bahagian 1, hari ini kami hidangkan kepada anda bahagian ke-2 pula yang mengupas secara empirikal tentang istilah-istilah lazim yang sering jadi tidak lazim disebabkan ketidak laziman kita terhadap fahaman asas kita terhadap “Al-Quran & Sunnah” yang dipusakakan oleh Rasulullah s.a.w.. Boleh jadi juga atas kekeliruan disebabkan input dari ribuan kitab “ pelbagai terbitan” selepas 2 pusaka tersebut. Mari kita berbicara tentang rahsia sains di sebalik Ramadhan, Puasa, Iqra, Nuzul Qur’an, Lailatul Qadar, Zakat, Fitrah sehinggalah Baju baru pagi Syawal.

Dari segi istilah dan harfiyah, Ramadhan bermaksud panas / tegang / huru hara (Ramadh). Ia terkait dengan situasi manusia yang kehilangan sistem dan cara hidup yang syumul. Hidup kini dilanda kejahilan, kebingungan dan kesesatan. Hidup ketandusan idea dan teraba-raba membuat ummat saling bertelagah dan memusuhi sesama sendiri. Kita kini MEMAKAI SISTEM yang semakin hari semakin lusuh, tidak mampu menutupi keaiban diri (aurat) mahupun melindungi kepanasan dan kesejukan. ‘Sistem’ itu secara mutsyabihat adalah seperti ‘pakaian’ kerana sistem itulah yang kita pakai hari-hari dan dengan sistem itulah aurat keaiban kita ditutupi dan kita diperlihatkan indah sahaja. Kita jadi cantik dan rapi dengan sistem. Contohnya jika lalulintas di Malaysia tiada sistem, maka berlanggarlah antara satu sama lain dan JADILAH KEKACAUAN, HURU HARA, DAN KETEGANGAN YANG MEMANASKAN HATI di persimpangan jalan.

Itulah Ramadhan dalam skop yang kecil. Kita besarkan lagi jadi skop Negara dan dunia pula. Dunia kita pun dah pakai sistem (pakaian) ala-ala Barat. Katanya berpakaian tetapi tersembul sana, terbuka sini, terjarang situ dan sebagainya. Sama sahaja yang terjadi pada hari ini kepada kita yang pakaian melekat pada badan, ada yang pakai ada yang tak pakai (kalau pakai lebih kurang, sama macam tak pakai lah).

Kurnia Allah kepada manusia yang sebenar-benarnya ialah berupa SISTEM dan hidayah kehidupan yang mensejahterakan, itulah ‘Diin’ agama, ‘a’ (tidak), ‘gama’ (kacau). Manusia guna sistem itu dan mereka akan dapat hidup penuh berkeyakinan diri, mandiri, saling menyayangi dan sangat sejahtera.

Bila keadaan ‘ramadh’, kita puasakan diri dari memakan dan minum pelbagai saranan yang selama ini saling bercanggah dan kurang berkesan. Air itu sering dikaitkan secara mutasyabihat dengan ILMU ataupun pada zaman nabi dulu sebagai wahyu. Kita tapislah ilmu-ilmu antara satu syeikh dengan syeikh yang lain. Sekarang ini alimin saling bergaduh kerana semuanya kata dia betul, maka adakah Islam itu yang salah.? Kita yang mendengar jangan “minum” sahaja apa yang diberi (Rujuk Artikel “Analogi Air di Hulu & Hilir sebelum ini). Ijma’ Ulamak adalah sandaran yang Rasulullah s.a.w. sarankan. Orang alim yang berjemaah dan memutuskan secara musyawarah, bukan masing-masing mengeluarkan fatwa secara Individu sewenang-wenang.

IQRA ADALAH PROSES NUZUL QURAN

Kita aktifkan semula fungsi diri sebagai hamba Allah. Bezakan benang putih dari benang hitam. Mulakan sahur dan bertaubat. Rendahkan diri serendahnya, agungkan Allah seagung-agungnya. Menggunakan sepenuhnya pendengaran, penglihatan dan hati untuk IQRA’ semula. Bandingkan kadar tahap ketepatan perlakuan dan perlaksanaan manusia berbanding apa yang telah Allah perintahkan (Rujukan : Al-Baqarah, 187)

Soal iqra, tilawah dan tadarus pun ada yang masih confuse bezanya. Iqra adalah cara bacaan Nabi (non-textual). Buktinya apabila Jibrail menurunkan wahyu pertama iaitu “Iqra” sedangkan tidak ada apapun nak dibaca (tilawah)kan. Maka sebenarnya, lebih tepat jika iqra itu berbeza dengan tilawah kerana iqra itu ialah “OBSERVE” / Perhati / Mengkaji dan bukannya Mengaji / Membaca tekstual. Membaca tekstual dan mengaji ini adalah TILAWAH. Hasil iqra’ memberi furqon, menjadi ketetapan (al-kitab) dan menjadi bahan tilawah Rasulullah s.a.w. kepada ummat. Rasanya itu cukup jelas untuk semua memahami konteks IQRA dan ia berbeza dengan TILAWAH. Berbeza juga dengan TADARUS (bacaan berulang-ulang). Dari iqra tadi kia tadaruskan dalam bulan puasa baru dapat FURQAN (salah satu komponen besar dalam Al-Quran tetapi ia datang dari hati – Rujuk Al-Baqarah,185).

Jika dibaca dalam konteks actual, ia akan jadi PENGKAJIAN & PEMERHATIAN (iqra), YANG BERULANG-ULANG (Tadarus) SEHINGGA MENERBITKAN PENDIRIAN (Furqan) dan dengan pendirian itu mampu untuk kita membezakan antara yang HITAM & yang PUTIH. Itulah proses hidayah dari Al-quran yang datang mencurah-curah (mencurah-curah ini sifat air juga). Inilah proses NUZUL QURAN yang berlaku dalam entiti diri kita sendiri. Nabi Muhammad s.a.w. dah dapat bahagian baginda melalui Jibril a.s. dan proses itu berulang semula dari ayat-ayat yang sama Jibril berikan kepada nabi tetapi dapat kepada kita melalui proses iqra atas apa yang di TILAWAHKAN kepada kita tadi DAN BUKAN IKUT-IKUT ORANG SAHAJA (Rujuk Al-Isra,36)

LAILATUL QADAR

Di hujung Ramadhan nanti akan kita rasakan segala POKOK bicara yang selama ini kita ikuti akan turut tunduk dengan POKOK bicara dan kehendak Allah. AIR hidayah yang kita takung selama ini akan beku. Pembakaran dan API (Naar) yang memanaskan (ramadh) tadi akan tidak lagi memanaskan hasil dari HIDAYAH (Nuur) al-Qur’an. Kita akan dapat satu hidayah besar yang merubah pemikiran dan pendirian dalam hidup kita keseluruhannya. Itulah LAILATUL QADAR, di mana amal satu malam gelap yang lebih baik dari 1000 bulan yang penuh kegelapan (83 tahun ~ seumur hidup manusia), kerana mendapat hidayah sebenar dari proses IQRA’ itu lebih baik dari sepanjang hayat kita terus menerus mengulangi tabiat ibadah ikut-ikutan tanpa menggunakan proses IQRA tadi itu. Seterusnya tidak difikir-fikirkan (Tafakur) dan dizikir-zikirkan. Oleh itu ibdah kita tidak menghasilkan sebarang ISLAH (pembaikan), tidak menjadi AMAL SOLEH bagi kita. Semuanya jadi pembaziran (rujuk surah al-Asr).

Setelah mendapat NUZUL QUR’AN & LAILATUL QADAR, InsyaAllah kita akan mampu mengeluarkan ZAKAT yang FITRAH dengan wajar jumlahnya, sepersepuluh seperti yang Rasulullah sarankan dan seperti sepersepuluh jumlah hari berpuasa dalam setahun yang sedang kita amalkan. Tidak lagi petani dan fakir miskin bayar RM10, jutawan juga bayar rm10. Tidak lagi berpuasa untuk mengejar pahla saja, bahkan bermegah-megah menghadapi raya, menambah sifat tamak dan riya’.

Rasulullah s.a.w telah bersabda; "Islam akan luntur (lusuh) seperti lusuhnya corak pakaian (yang telah lama dipakai), sehingga insan sudah tidak mengerti apa yang dimaksudkan dengan PUASA, dan apa yang dimaksudkan dengan SOLAT dan apa yang dimaksudkan dengan NUSUK (ibadat) dan apa yang dimaksudkan dengan SEDEKAH. Dan al-Quran akan dihilangkan kesemuanya pada suatu malam sahaja, maka tidak tinggal dipermukaan bumi daripadanya walau pun hanya satu ayat. Maka yang tinggal hanya beberapa kelompok daripada manusia, diantaranya orang-orang tua, laki-laki dan perempuan. Mereka hanya mampu berkata, "Kami sempat menemui nenek moyang kami memperkatakan kalimat "La ilaha illallah", lalu kami pun mengatakannya juga". Daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a. - H.R Ibnu Majah

InsyaAllah, kita juga akan dapat memulakan hidup baru di pagi raya dengan ‘pakaian’ baru yang lebih cantik. Hidup tenang penuh kegembiraan, saling bermaafan dan berkasih sayang tidak kira jutawan mahupun Si Fakir. Itulah AIDUL FITRI. Itulah FITRAH Islam yang amat sejahtera lagi mensejahterakan.

Hasil IQRA

Bersambung…

Comments

Popular posts from this blog

Kalau Grab di Perlis - Inspired By Copilot

Entri kira muat...

Kasihani lah....